Mahu jadi anak seni yang miliki kelayakan masa depan

Mahu jadi anak seni yang miliki kelayakan masa depan

syafil.syazwan@hmetro.com.my

“Rambut saya jadi lurus sekejap!”. Itu seloroh pelakon berkaliber, Farah Ahmad, 49, menceritakan detik cemas apabila fail tesis pengajiannya hilang dari komputer riba ketika dia sedang bergelut dengan jadual seni yang padat.

Farah yang baru sahaja menerima Diploma Kejurulatihan Lakonan pada 22 November lalu, menyifatkan tahun 2025 sebagai tempoh paling mencabar dalam hidupnya sebagai anak seni, ibu tunggal dan mahasiswa.

Menerusi program kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Meatech Academy, Farah membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menimba ilmu secara ilmiah, meskipun terpaksa ‘bermandi air mata’.

Mengimbas semula kejadian itu, Farah mengakui hampir berputus asa apabila tugasan bertulis yang disiapkan dengan susah payah hilang pada saat akhir sebelum tarikh penghantaran.

“Pagi hari nak hantar tesis, fail hilang. Saya terduduk dan menangis sebab tak tidur dan tak larat. Sedih sangat sebab kita buat sambil bekerja.

“Hendak guna komputer riba anak-anak, mereka pun sedang guna untuk belajar. Nasib baik ada anak angkat yang bergegas hantar komputer riba untuk saya gunakan.

“Atas nasihat penilai, saya kuatkan semangat untuk buat semula bab demi bab berdasarkan nota-nota yang ada di tepi,” katanya.

Sepanjang tempoh itu, pentas teater dan set penggambaran menjadi ‘rumah kedua’ untuknya menyiapkan tugasan.

Di celah-celah latihan teater, apabila bukan babaknya, Farah akan berlari ke tepi pentas untuk menghadap komputer riba.

“Tahun lalu adalah tahun tidak cukup tidur. Makan dan tidur sudah tiada dalam kamus hidup demi mengejar ilmu. Kadang-kadang dua hari sekali baru dapat tidur,” katanya.

Menariknya, ini bukanlah kali pertama Farah menjejakkan kaki ke menara gading.

Ramai tidak tahu pelakon filem Roh ini sebenarnya memiliki Diploma Sains Komputer dan pernah melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian sekitar tahun 1995.

“Waktu itu bidang Sains Komputer dan Sains Sukan baru masuk ke Malaysia. Selepas SPM, bapa tidak benarkan saya ambil bidang seni.

“Walaupun saya cuba hubungi ITM (sekarang UiTM) untuk masuk aliran seni, ada aturan pada ketika itu yang menjadi kekangan untuk saya realisasikan hasrat itu.

“Namun, ketika di peringkat ijazah, saya mula mengenali teater. Saya ambil keputusan nekad untuk berhenti belajar separuh jalan, bukan kerana masalah kewangan, tetapi kerana saya rasa pilihan itu lebih tepat untuk jiwa saya,” katanya.

Farah menyertai program berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini membuka ruang kepada pengamal seni berpengalaman belasan tahun untuk mendapat pengiktirafan akademik.

Meskipun mempunyai pengalaman lebih 20 tahun, Farah yang diselia pelakon dan pensyarah Naque Ariffin mengakui pening kepala menyiapkan tesis kerana perlu mengikut format ilmiah yang ketat.

“Amali Insya-Allah tiada masalah, tapi tesis kena ikut gaya ilmiah. Tiada istilah ‘saya.. saya’ dalam penulisan,” katanya.

Walaupun berjaya menamatkan pengajian, Farah tidak sempat menghadiri majlis konvokesyen kerana pada hari yang sama, dia terbabit dengan pementasan teater.

Kini, Farah aktif mengendalikan kelas lakonan di Stefani Studio bersama ibu mentuanya, Datuk Fauziah Nawi, selain kelas peribadi untuk pelakon yang ingin mendalami skrip projek tertentu.

Tidak mahu berhenti di situ, Farah kini memasang impian untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana (Master) dalam masa terdekat.

“Insya-Allah tahun ini saya sedang mencari universiti untuk peringkat Sarjana pula. Ada universiti yang mahu mempelawa saya? Doakan saya ya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top