Mahu Kekal Relevan, Daniel Cheang Terus Konsisten Atur Langkah Dalam Bidang Seni

Mahu Kekal Relevan, Daniel Cheang Terus Konsisten Atur Langkah Dalam Bidang Seni

Walaupun belum benar-benar dikenali dalam arus populariti, nama Daniel Cheang sudah lama mengukir jejak kukuh dalam industri hiburan tempatan dan antarabangsa.

Personaliti serba boleh ini memiliki pengalaman luas sebagai hos televisyen, penyampai radio, pengacara temu bual selebriti antarabangsa, selain turut aktif sebagai pelakon.

Bagi Daniel, konsistensi dan kerja keras menjadi teras utama perkembangan kerjaya seni yang kini semakin matang. Dikenali sebagai penyampai radio Hitz Weekend, pengacara TV serta personaliti media sosial yang aktif, Daniel baru-baru ini berkongsi sisi peribadinya dalam sesi khas bersama Dr Healing.

Dalam sesi bersama Dr Healing atau nama sebenarnya, Dr Hisham Dzakiria itu, dia menceritakan perjalanan jatuh bangun dari dunia penyiaran hingga ke pentas antarabangsa.

“Saya sentiasa berfikir ke hadapan. Mungkin pasaran saya lebih sesuai di luar negara, tapi saya tetap bersyukur kerana masih ada rezeki di tanah air sendiri,” katanya.

Selain penyiaran, Daniel turut melebarkan sayap ke bidang lakonan melalui drama Imperfect, kemunculan cameo dalam filem Polis Evo 2, serta beberapa drama tempatan lain. Bagi dirinya, tiada peranan yang terlalu kecil kerana setiap peluang adalah ruang untuk berkembang dan belajar.

Terkini, Daniel menamatkan tugasnya sebagai pengacara belakang tabir program Raise The Star Malaysia, sambil meneruskan komitmen terhadap siri temu bual bersama selebriti antarabangsa.

“Ada beberapa lagi program TV yang bakal menyusul, tapi belum boleh diumumkan secara rasmi. Kalau ada peluang sesuai, saya juga terbuka untuk kembali ke set lakonan,” katanya.

Dalam sesi hampir sejam itu, Daniel turut diperkenalkan dengan teknik Centre of Excellence (COE), satu pendekatan daripada Neuro Linguistic Programming (NLP) yang membantu seseorang kembali ke keadaan mental, emosi, dan fizikal terbaik mereka. Teknik ini digunakan ketika berdepan tekanan, kekecewaan atau apabila impian belum tercapai.

Melalui gabungan visualisasi, sambungan emosi dan ‘anchor’, COE dapat mengaktifkan semula keyakinan diri serta memindahkan tenaga positif ke dalam usaha masa kini. Sepanjang perbualan, jelas kelihatan ketenangan Daniel yang kini lebih terbuka berkongsi pandangan mengenai industri hiburan, kesihatan mental, dan peranannya sebagai figura awam.

“Kadang-kadang, orang hanya nampak apa yang viral. Tapi saya percaya, perkara yang bertahan lama datang daripada asas yang jujur dan konsisten,” katanya.

Bagi Daniel, relevansi bukan bergantung kepada sentiasa berada di bawah sorotan, sebaliknya terletak pada nilai yang dibawa dalam setiap langkah dan bagaimana ia memberi makna kepada orang lain.

@rynn_mybee Kacip #mplmys15 #fyp #mpl #feekz #srg #selangorredgiants #homebois #mplmy ♬ original sound – SannnQ – Shazyyyyy

Perjalanan seninya bukan semata-mata soal pencapaian, tetapi juga keyakinan diri, kesabaran dan keberanian membina ruang sendiri walaupun tanpa publisiti besar-besaran.

Bagi dirinya, kejayaan sebenar bukan diukur melalui sorakan gemuruh, sebaliknya pada usaha yang konsisten serta niat yang tulus.

Scroll to Top