Mahu kuburkan BN kali kedua, PH Johor perlu ‘lampu ajaib’ – Puad Zarkashi

Mahu kuburkan BN kali kedua, PH Johor perlu ‘lampu ajaib’ – Puad Zarkashi

SHAH ALAM – Hasrat Pakatan Harapan (PH) Johor untuk ‘menguburkan’ Barisan Nasional (BN) buat kali kedua boleh dilakukan asalkan parti itu mampu memperoleh ‘lampu ajaib’.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dengan nada sinis berkata, ‘lampu ajaib’ dimaksudkan mesti luar biasa untuk membohongi rakyat kali kedua dengan fitnah dan janji kosong sepertimana dilakukan PH pada 2018.

“Malangnya mereka kehilangan ‘lampu ajaib’ tersebut kerana Datuk Seri Rafizi Ramli sudah menjadi ‘lampu suluh’ yang mengkucar-kacirkan PH dengan pendedahan demi pendedahan hingga tidak mampu dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lebih malang, standard Aminolhuda terlalu jauh berbanding Rafizi.

“Seperti langit dengan bumi. Takut dia yang terkubur di Sri Gading,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, PH Johor berazam mahu ‘menguburkan’ BN buat kali kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akan datang.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, PH tidak akan sesekali goyah sebelum bertanding walaupun BN Johor telah mengumumkan bertanding solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kata beliau, BN pernah mengalami kekalahan di Johor manakala PH menang 38 kerusi DUN serta memerintah negeri tersebut pada 2018.

Scroll to Top