KUALA LUMPUR: Pelakon, Sherry Ibrahim, mengakui dirinya kini berada dalam fasa kehidupan yang lebih matang dan bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.
Bagaimanapun, kata Sherry, dia memilih untuk tidak tergesa-gesa dalam soal mencari pasangan hidup.
Menurut Sherry, 42, kejujuran merupakan kriteria paling utama yang dicari dalam diri seorang lelaki, lebih-lebih lagi pada usia sekarang yang menuntut kematangan dalam membuat keputusan besar.
“Saya mahukan seorang lelaki yang jujur, tetapi kejujuran itu perlu dibuktikan melalui perbuatan, bukan sekadar kata-kata.
“Jangan hanya pandai bercakap, kerana saya sudah tidak mempunyai banyak masa untuk menunggu,” katanya.
Sherry berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Ramadan Astro yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Sherry tidak menafikan dirinya sudah bersedia untuk berumah tangga, namun menyerahkan sepenuhnya soal jodoh kepada ketentuan Ilahi.
“Sejujurnya, saya memang sudah bersedia untuk berkahwin. Saya tidak mempunyai banyak masa, terutamanya apabila bercakap soal zuriat memandangkan usia saya sekarang.
“Bagaimanapun, saya percaya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk saya. Perkahwinan bukan satu perlumbaan atau trend. Bukan kerana orang lain sudah berkahwin, kita juga perlu tergesa-gesa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sherry turut menyentuh mengenai persepsi segelintir pihak yang melabelkan dirinya sebagai wanita ‘pakej lengkap’ dan ‘high maintenance’, sekali gus mungkin membuatkan sesetengah lelaki berasa kurang yakin untuk mendekatinya.
“Apabila orang bercakap tentang ‘pakej lengkap’, mungkin mereka lihat dari segi rupa paras, tinggi, kurus dan sebagainya. Tetapi mungkin juga ada yang takut untuk mendekati.
“Mungkin ada yang beranggapan saya ‘high maintenance’, tetapi sebenarnya tidak. Saya sudah bekerja sejak usia 18 tahun.
“Saya seorang yang ringkas dan tidak pernah mahukan sesuatu tanpa usaha. Apa yang saya ada hari ini adalah hasil kerja keras saya sendiri,” katanya.
Menurut Sherry, untuk mendapatkan lelaki yang benar-benar jujur bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi selepas melalui pelbagai pengalaman hidup.
selain itu, Sherry menegaskan bahawa lelaki yang benar-benar serius perlu berani membuktikan niat mereka melalui tindakan, bukan sekadar janji manis.
“Bagi saya, lelaki yang baik, ikhlas dan jujur adalah yang terbaik. Jika benar-benar mahukan saya, dia perlu menepati apa yang dijanjikan.
“Saya sudah terlalu biasa mendengar janji-janji yang sama, tetapi tiada tindakan. Jika lelaki itu benar-benar berani dan serius, datanglah berjumpa ibu bapa saya. Jika sesuai, insya-Allah, perkara itu akan terjadi,” katanya.




