Mahu rehat berlakon, tumpu bisnes, 'bina' keluarga

Mahu rehat berlakon, tumpu bisnes, 'bina' keluarga

georgie@hmetro.com.my

PELAKON terkenal Indonesia, Luna Maya, 42, kembali mewarnai industri perfileman serantau menerusi filem terbaharu berjudul Sukma arahan sahabat baiknya, Baim Wong.

Filem seram ini sekali gus menambah koleksi panjang naskhah genre itu yang pernah dibintangi oleh aktres jelita berkenaan yang sangat berpengalaman luas dalam bidang lakonan.

Dia pada awalnya berasa sedikit ragu-ragu untuk menerima tawaran terbabit, namun akhirnya bersetuju selepas dipujuk oleh pengarahnya yang juga seorang pelakon hebat negara itu.

“Sewaktu Baim menunjuk dan menawarkan (watak dalam) filem ini, saya agak skeptikal sama ada dia boleh memberikan warna yang berbeza dalam industri perfileman serantau.

“Tetapi, saya tahu dan percaya dia adalah seorang aktor yang sangat baik kerana saya sendiri pernah berlakon bersamanya dalam sebuah naskhah drama dahulu.

“Saya tahu dia seorang yang serius, jadi sewaktu dia mahu buat filem, pasti kami sokong kerana percaya dia mampu menghasilkan karya yang sangat luar biasa,” katanya.

Menurut Luna, proses penggambaran filem seram terbaharu lakonannya berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar yang boleh mengganggu jadual kerja pasukan produksi.

Bagaimanapun, dia mendedahkan ada satu insiden yang tidak dapat dilupakan sewaktu berada di set penggambaran sekali gus memaksanya melakonkan semula satu babak penting.

“Semua berjalan lancar, tetapi ada satu kejadian luar biasa sewaktu di lokasi penggambaran apabila kami diberitahu pemilik tanah belum ‘dibayar’ untuk izin.

“Jadi, kami perlu segera bertukar ke lokasi penggambaran lain dan terpaksa mengulangi semula babak terakhir saya yang sudah dirakamkan sebelum itu,” katanya.

Luna menyifatkan filem Sukma ini sebagai sebuah naskhah sangat istimewa dan mempunyai kelainan tersendiri berbanding semua filem seram pernah dilakonkannya sebelum.

Dia menjelaskan hala tuju naskhah berkenaan lebih menjurus kepada genre seram psikologi yang turut menyentuh isu drama kekeluargaan dengan begitu mendalam sekali.

“Saya boleh katakan ini adalah naskhah seram cukup berbeza daripada semua filem seram pernah saya jayakan sebelum ini kerana lebih kepada psikologi.

“Tidak ada babak saya dirasuk, tiada babak ngeri atau bermain dengan pisau dan darah walaupun ada sedikit, tetapi kuantitinya tidaklah terlalu banyak.

“Filem seram saya sebelum ini banyak yang ngeri, tetapi genre ini ada banyak cabang seperti drama, komedi, psikologi, mitologi dan ngeri atau berdarah,” katanya.

Sebagai seorang pelakon yang sering diberi jolokan ratu filem seram, Luna sentiasa memastikan setiap watak dibawakan mempunyai warna dan perbezaan yang sangat ketara.

Dia turut memuji cara Baim mengarah kerana sebagai seorang pelakon, aktor terbabit memahami dan tahu apa yang dimahukan daripada barisan pelakonnya.

“Sudah tentu ceritanya berbeza, malah dalam naskhah ini sangat berlainan daripada yang pernah saya mainkan kerana saya tidak memakai secalit solekan pun.

“Komunikasi kami sangat baik kerana dia juga seorang pelakon, jadi kami bercakap dalam bahasa yang sama dan saya amat menyukai cara kerjanya,” katanya.

Filem Sukma ini turut menggandingkan Luna bersama bintang meningkat naik dari Malaysia iaitu pelakon jelita Anna Jobling yang turut memegang salah satu watak penting.

Ini adalah kerjasama sulung antara dua aktres hebat dari dua negara serumpun ini, namun Luna mengakui tidak banyak babak membabitkan mereka.

“Secara jujur saya hanya mempunyai beberapa babak sahaja dengannya, jadi agak sedih juga kerana teringin untuk mempunyai lebih banyak adegan bersama Anna.

“Meskipun begitu, saya percaya dua babak kami bersama itu sudah cukup memberikan memori dan mampu menjadi nilai tambah yang sangat besar kepada filem ini,” katanya.

Luna ditemui ketika menghadiri Malam Gala Tayangan Filem Sukma di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Filem itu turut dibintangi Fedi Nuril, Christine Hakim dan Oka Antara mula ditayangkan di Malaysia, semalam.

Hamil kaedah IVF

Pelakon hebat ini juga merancang untuk berehat seketika daripada dunia lakonan bagi memberikan fokus penuh terhadap perniagaan dan juga perancangan untuk membina keluarga.

“Saya sepatutnya terbabit dengan penggambaran sebuah filem, namun projek itu tidak dapat diteruskan kerana jadual kerja saya yang bercanggah pada waktu yang sama.

“Pada penghujung tahun ini, saya akan jayakan sebuah siri drama dan selepas itu saya mahu berehat seketika untuk memberikan fokus kepada zuriat.

“Sejujurnya perkara itu masih belum dapat diputuskan kerana saya masih lagi menimbang sama ada mahu hamil secara normal atau melalui kaedah persenyawaan in-vitro (IVF),” katanya.

Namun, apabila Luna dan suami Maxime Bouttier, 32, membuat keputusan meneruskannya maka dia mahu memperlahankan kerjaya seni dan tidak mahu mengambil sebarang projek penggambaran baharu.

Luna juga mengakui banyak menerima tawaran duta produk yang mahu dia dan suaminya bergandingan dengan kebanyakannya berkonsep kekeluargaan.

“Saya hanya akan memberikan fokus sepenuhnya kepada urusan pejabat dan perniagaan, selain mungkin bekerja sebagai duta produk untuk jenama-jenama yang melantik saya.

“Memang benar banyak jenama yang mahu kami bergandingan sebagai duta produk, walaupun sebenarnya komitmen kerja kami secara individu juga masih sangat banyak dan padat.

“Namun, saya perhatikan hala tuju setiap tawaran yang diterima sekarang juga sudah sangat berbeza kerana ia lebih menjurus ke arah konsep kekeluargaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top