MAIM peruntuk RM13.1 juta bantu mualaf tahun ini

MAIM peruntuk RM13.1 juta bantu mualaf tahun ini

Melaka: Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperuntukkan RM13.1 juta tahun ini bagi membantu golongan mualaf dengan menyediakan pelbagai bantuan dan sumbangan.

Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Md Rawi Mahmud berkata, ia meliputi bantuan seperti pendidikan, kebajikan, bantuan makanan bulanan, perubatan, bantuan anak-anak mualaf dan sebagainya.

“Bagi tahun ini jumlah peruntukan juga meningkat berbanding tahun lepas iaitu sebanyak RM8 juta… ini seiring dengan kos sara hidup yang semakin tinggi di samping meringankan beban mereka.

“Beberapa jenis bantuan juga ditingkatkan nilainya seperti bantuan bulanan makanan daripada RM200 kepada RM250 dan elaun sara diri anak-anak mualaf di pusat pengajian tinggi daripada RM400 kepada RM600 sebulan,” katanya kepada pemberita di Kota Laksamana di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Apresiasi Mualaf Negeri Melaka yang turut dihadiri Setiausaha MAIM Muhammad Ikram Ibrahim dan Pengurus Baitulmal MAIM Hairulamin Mohd Sis.

Pada majlis itu seramai 126 pelajar Kelas Fardhu Ain Mualaf (KAFAF) dari pelbagai tahap diraikan atas kejayaan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Md Rawi berkata, seramai 2,483 mualaf direkodkan di Melaka sejak 2010.

Dalam pada itu, beliau berkata, MAIM juga komited membantu golongan mualaf untuk mendalami ilmu agama dengan menyediakan 18 kelas KAFAF pelbagai tahap menerusi Balai Islam Melaka di seluruh negeri.

“Sehingga kini terdapat seramai 205 pelajar mualaf dalam Daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (30 pelajar) dan Jasin (70 pelajar),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd