MAIM siasat dakwaan wanita gagal dapat bantuan, terpaksa tidur di surau

MAIM siasat dakwaan wanita gagal dapat bantuan, terpaksa tidur di surau

Melaka: Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan menyiasat dakwaan berhubung seorang wanita gagal mendapatkan bantuan daripada agensi itu sehingga terpaksa berlindung di sebuah surau di Kampung Kolam Limbongan di sini sejak empat hari lalu, seperti tular di media sosial hari ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, dakwaan itu agak berat sedangkan MAIM mempunyai pelbagai jenis bantuan yang sedia diberikan kepada pemohon khususnya golongan asnaf.

“Dakwaan itu perlu disiasat dan disahkan terlebih dulu kerana mustahil MAIM bersikap lepas tangan sedangkan pegawai dan kakitangan MAIM juga adalah manusia…mungkin ada cerita di sebaliknya.

“MAIM tidak pernah berhenti membantu mereka yang susah dan memerlukan sedangkan setahun peruntukan bantuan berkenaan mencecah RM145 juta, takkan apabila datang seorang yang susah seperti didakwa dalam video tersebut, kita tidak boleh beri bantuan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Melaka yang turut dihadiri Presiden MACMA Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Rahmad berkata, dakwaan itu boleh menimbulkan fitnah sekali gus mencemarkan reputasi MAIM sebagai sebuah agensi yang sentiasa menjaga kebajikan asnaf di negeri itu.

Hari ini, tular di media sosial video berdurasi 1 minit 32 saat yang merakam seorang wanita didakwa asnaf dan pesakit strok dibiarkan tidur bersama seorang anak lelakinya di surau sejak empat hari lalu tanpa sebarang bantuan diterima.

Video dipercayai dirakam seorang wanita lain turut mendakwa asnaf itu memohon bantuan rumah daripada MAIM namun dimaklumkan perlu menunggu selama tiga bulan.

Selain itu, Rahmad berkata, kerajaan negeri menerusi MAIM sentiasa memastikan kebajikan semua mualaf di Melaka terpelihara dan diberi keutamaan agar tidak merasa terpinggir.

Beliau berkata sebagai contoh, MAIM membangunkan Balai Islam di Kompleks Darul Huda yang berperanan sebagai pusat sehenti untuk semua mualaf atau saudara baharu Islam mendapatkan perlindungan, kebajikan serta rujukan berkaitan Islam secara lebih mendalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top