am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan hari ini menampilkan video sempena Hari Malaysia dengan mengetengahkan isu buli di sekolah.
Menerusi video berdurasi kira-kira dua minit itu ia menunjukkan pelbagai kejadian yang boleh dianggap buli dilakukan oleh pelajar sekolah rendah.
“Tiada kompromi terhadap salah laku buli. la perlu dilaporkan dan diambil tindakan tegas. Ayuh semaikan sikap saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain. Kita semua anak Malaysia,” menurut KPM dalam catatan kapsyen video itu.
Justeru KPM meminta supaya mangsa buli untuk melaporkan kejadian yang menimpa mereka di aduanbuli.moe.my atau menghubungi 014-8009325 atau 03-88849325
Baru-baru ini Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Dr Farah Nini Dusuki mendedahkan kes buli di sekolah di bawah seliaan KPM menunjukkan peningkatan signifikan setiap tahun sejak 2022 dengan lebih 70 peratus daripadanya dilaporkan berlaku di sekolah menengah.
Katanya, pada tahun 2022 sebanyak 819 kes buli berlaku di sekolah rendah manakala 3,064 dicatatkan di sekolah menengah.
Angka berkenaan meningkat kepada 1,110 kes di sekolah rendah pada 2023 dan 5,418 kes di sekolah menengah manakala pada 2024, sebanyak 1,992 kes dicatatkan di sekolah rendah dan 5,689 kes di sekolah menengah.
© New Straits Times Press (M) Bhd


