MAINJ bina Sekolah Menengah Antarabangsa Tahfiz Sains Johor

MAINJ bina Sekolah Menengah Antarabangsa Tahfiz Sains Johor

ISKANDAR PUTERI: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan membina sebuah Sekolah Menengah Antarabangsa Tahfiz Sains Johor  dengan belanja RM30 juta. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, sekolah yang dibina di atas di tanah berkeluasan dua hektar di Kampung Sinaran Baru, dekat sini akan menggunakan sumber hasil wakaf.

Menurut beliau, kutipan Saham Wakaf Johor  digerakkan bagi projek sekolah tersebut sejak Februari lalu dengan penyertaan dibuka kepada orang ramai untuk menderma RM50 bagi satu unit saham wakaf.

 “Setakat ini, kita memperoleh unit saham wakaf dengan nilai keseluruhan RM10 juta.

“Kita jangka dalam tempoh dua tahun setelah sasaran saham wakaf berjaya dicapai, kita akan memulakan pembinaannya,” katanya ditemui selepas Majlis Penyerahan Agihan Manfaat Wakaf MAINJ  2002 di Fraser Place, di sini hari ini. 

Mohd. Fared berkata, sekolah tersebut menggunakan dwibahasa, iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab serta akan dikelolakan oleh Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor dengan menggunakan kurikulum berdasarkan sains, agama dan hafazan al-Quran. 

“Pengambilan pelajar akan membabitkan 80 pelajar tempatan dan selebihnya ditawarkan kepada pelajar dari luar negara,” katanya. 

Sementara itu, Mohd. Fared berkata, sebanyak RM1.48 juta berjaya dikutip menerusi Skim Wakaf al-Quran di bawah Saham Wakaf Johor sejak 2010 bertujuan menyalurkan kitab suci ke sekolah-sekolah agama, pusat pengajian tahfiz dan masjid-masjid di seluruh negeri.  

Katanya, MAINJ bersetuju memanfaatkan dana harta wakaf kepada kumpulan asnaf mualaf berjumlah RM100,000 yang akan diagih-agihkan kepada 10 pusat pengajian saudara baharu di seluruh negeri ini. 

Turut disalurkan ialah bantuan masing-masing berjumlah RM10,000 kepada Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan dan Rumah Perlindungan Baitus Solehah Johor.  – UTUSAN