ARAU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan RM11,680,080 peruntukan tahunan kepada institusi pendidikan Islam di negeri ini bagi tahun ini.
Peruntukan tersebut membabitkan 34 institusi pendidikan Islam peringkat rendah, menengah, maahad tahfiz dan pengajian tinggi yang terlibat.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan pada majlis iftar di Istana Arau di sini semalam.
Pada majlis sama, baginda dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid turut berkenan meraikan dan mengurniakan sumbangan kepada warga emas, anak yatim dan pengamal media.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda.
Seramai 24 warga emas dari Rumah Seri Kenangan Kangar; Pusat Warga Emas Durani, Alor Sena; Pusat Aktiviti Warga Emas Jejawi, Arau dan Pusat Aktiviti Warga Emas YIP’s, Kangar serta 20 anak yatim dari Rumah Kanak-Kanak Arau, Mata Ayer menerima sumbangan berupa pakaian dan duit raya.