bhnews@bh.com.my
SHAH ALAM: Sebanyak 303 keluarga di negeri ini yang terkesan kehidupan dan pendapatan akibat penularan COVID-19 menerima bantuan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), semalam.
MAIS berkata, penerima terdiri daripada 156 keluarga di Hulu Selangor, Kuala Langat (83) dan 64 keluarga di Kuala Selangor.
Katanya, MAIS menyediakan peruntukan RM30,300 bagi membantu keluarga terbabit yang kebanyakan ketua keluarganya bekerja gaji hari dan buruh, tetapi sudah diberhentikan kerja.
“Setiap keluarga menerima bantuan beras, tepung, gula dan makanan sampingan bernilai RM100 menggunakan peruntukkan dana fidyah MAIS.
“MAIS mendapati ada yang tidak dapat bekerja disebabkan majikan tidak dapat beroperasi. Ada juga hilang punca pendapatan atau berkurangan kerana bekerja sendiri dan pendapatan terjejas ketika pandemik COVID-19,” kata MAIS dalam kenyataan, semalam.
MAIS berkata pengedaran bantuan kali ini membabitkan Tujuh Rakan Strategik Fidyah MAIS antaranya masjid dan surau.
MAIS turut merakamkan terima kasih kepada pembayar fidyah dan berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan bebanan insan memerlukan.
“Kepada anda yang masih belum menunaikan kewajipan membayar fidyah, boleh berbuat demikian secara dalam talian melalui e-MAIS.,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




