am@hmetro.com.my
Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperkenalkan Kad Perancang Pewarisan Islam sebagai identiti Perancang Pewarisan Islam (PPI) berdaftar, bertujuan membantu umat Islam berkaitan pengurusan harta, terutamanya wasiat dan hibah.
Kad pengenalan khas itu bertujuan membendung kegiatan penipuan serta penyamaran oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai wakil menawarkan khidmat pengurusan harta.
Pengerusi MAIS, Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata kad tersebut mempunyai pelbagai kelebihan termasuk mengandungi nombor rujukan pelantikan PPI, tarikh sah laku, gambar dan nama agen berkenaan.
“Maklumat ini bertujuan mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat dalam mendapatkan perkhidmatan pengurusan wasiat dan hibah. Ia akan diberikan kepada PPI yang dilantik MAIS
“Pelantikan PPI juga bertujuan membantu terutamanya dalam proses pendaftaran perkhidmatan wasiat dan hibah umat Islam di negeri ini katanya pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Rakan Media dan Rakan Strategik serta Pelancaran Kad Perancang Pewarisan Islam di Hotel De Palma Seksyen 19, di sini hari ini.
Salehuddin berkata, sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk mentadbir hal ehwal umat Islam negeri Selangor, MAIS sentiasa komited melaksanakan perkhidmatan pengurusan wasiat dan hibah secara adil, telus, profesional dan patuh syariah kepada masyarakat.
“Sehingga Mac lalu, MAIS bekerjasama dengan 63 orang PPI yang berdaftar dan aktif dalam mempromosikan perkhidmatan wasiat dan hibah.
“Sejak April 2022 sehingga Mac 2025, sebanyak 553 dokumen wasiat dan 1001 dokumen hibah dikendalikan oleh MAIS dengan kerjasama PPI yang dilantik.
“MAIS menggalakkan orang ramai turut mendaftar sebagai sebagai PPI melalui https://siswa.mais.gov.my/register/agent bagi membantu MAIS menyebarluaskan lagi perkhidmatan ini serta mengambil peluang meningkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan harta serta menambah pendapatan melaluinya.
Dalam pada itu, MAIS turut meraikan rakan media dan rakan strategik sebagai satu penghargaan dan meraikan para pengamal media sepanjang tahun 2024 yang memberi kerjasama yang cemerlang dalam membuat liputan berita MAIS meliputi kejayaan, peristiwa dan aktiviti semasa MAIS.
© New Straits Times Press (M) Bhd