am@hmetro.com.my
Shah Alam: Melihat cabaran yang dihadapi negara ketika pandemik COVID-19 menjadi titik permulaan buat Maisara Subhatina Md Fuzi, graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Kulinari menerokai bidang makanan dan minuman dengan lebih meluas.
Maisara Subhatina, 24, yang juga penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) pada Istiadat Konvokesyen UiTM Shah Alam kali ke-104 kali ini berkata, minatnya dalam bidang masakan tidak akan terhenti setakat hari graduasi sahaja kerana dia sudah merancang untuk menjadi pengusaha restoran dalam pelbagai jenis makanan suatu masa nanti.
“Saya memilih bidang kulinari, pertama sebab saya minat memasak daripada kecil lagi. Kebetulan saya anak sulung dari empat beradik, dari sekolah rendah saya mula membantu ibu memasak sehingga kini.
“Kemudian, apabila COVID-19 melanda dunia dan negara kita, saya nampak bidang yang boleh pergi jauh adalah bidang makanan dan minuman sebab itu antara industri yang tetap berjalan meskipun ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Daripada situ saya nampak bidang sangat meluas dan bidang ini boleh sustain (bertahan), jadi saya nekad ambil bidang seni kulinari dan buka kafe ataupun kedai makanan saya sendiri suatu hari nanti.
“Kemahiran memasak saya bermula dengan buat kek, biskut raya kemudian mula terima tempahan. Selepas itu, perlahan-lahan saya masak pelbagai makanan-makanan berat, seterusnya saya serta katering,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan petang tadi.
Kongsi Maisara, bagi mengukuhkan dan meningkatkan kemahirannya dalam bidang kulinari, dia memilih menjalani latihan industri di Hotel Concorde Seksyen 9 Shah Alam ketika pengajian di peringkat diploma.
“Dekat situ, saya memang belajar betul-betul dan fokus memasak sepanjang sembilan bulan internship. Apabila sambung ijazah, saya terus mengasah kemahiran memasak saya.
“Ketika itu saya memang berazam ‘aku bukan hendak jadi tukang masak biasa’ sebaliknya hendak jadi tukang masak yang boleh mengajar orang lain memasak.
“Jadi, sepanjang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah, saya fokus dua perkara, bidang masakan saya dan bagaimana hendak menyampaikan ilmu memasak kepada orang lain sebab memasak bukan sahaja kek tetapi memasak lauk pauk, katering dan banyak lagi,” katanya yang kini bekerja di sebuah restoran terkemuka di Damansara.
Dalam pada itu katanya, sepanjang tempoh pengajian dia juga berdepan dengan pelbagai cabaran antaranya memahami subjek yang agak sukar seperti Cost Control di peringkat ijazah dan Undang-Undang ketika diploma dalam bidang sama.
“Subjek Cost Control ini berkaitan dengan pengiraan stok, kebetulan saya kurang jadi pada awalnya sukar untuk score… apa yang saya buat, setiap kali selepas kelas subjek itu, saya terus ulangkaji semula dan belajar dengan rakan kuliah yang mempunyai kepakaran dalam subjek itu. Akhirnya saya dapat A.
“Begitu juga subjek lain yang sukar, saya akan berikan lebih perhatian dari segi ulangkaji dan sebagainya. Alhamdulillah hari ini saya berjaya, saya sangat gembira dan puas hati,” katanya yang berhasrat melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana.
Maisara Subhatina juga anak kepada bekas wartawan sambilan Harian Metro dan Berita Harian, Md Fuzi Abd Lateh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




