MAIWP taja tiket bas, kapal terbang 10,000 pelajar pulang beraya di kampung

MAIWP taja tiket bas, kapal terbang 10,000 pelajar pulang beraya di kampung

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini lebih bermakna buat 10,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Lembah Kelang apabila Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menaja tiket bas dan kapal terbang untuk mereka pulang ke kampung.

Pelajar dari lapan buah universiti awam dan swasta terpilih turut menerima wang saku sebanyak RM100 yang melibatkan keseluruhan peruntukan program ‘Rahmah Ramadan MAIWP: Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa” berjumlah RM1.628 juta.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer bergambar bersama pelajar IPT yang akan pulang ke kampung pada Majlis Pelancaran Jom Balik Raya bersama Mahasiswa di Universiti Poly-Tech Malaysia, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 MAC 2024.

Menurut Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, inisiatif yang dilaksanakan MAIWP adalah bertujuan meringankan beban ekonomi pelajar untuk bersama-sama keluarga pada musim perayaan.

“Semoga pada pelajar dapat menikmati waktu bersama-sama keluarga. Raya adalah masa untuk mengeratkan hubungan keluarga.

“Ingatlah untuk sentiasa bersyukur atas nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT dan berikan kasih saya serta perhatian kepada semua orang yang dekat dengan anda,” kata Syed Kamarulzaman.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer melepas kan konvoi bus pada Majlis Pelancaran Jom Balik Raya bersama Mahasiswa di Universiti Poly-Tech Malaysia, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 MAC 2024.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Jom Balik Rakay Bersama Mahasiswa di Universti Poly-Tech Malaysia (UPTM) yang diturut dihadiri Naib Canselornya, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy. Skeikh dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd. Fauzi Abidin.

IPT yang terlibat adalah Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (2,040 pelajar), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (1,560), Universiti Malaya (1,800) dan UPTM (1,140).

Turut terlibat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (1,120), Universiti Kebangsaan Malaysia KL (1,120), Kolej Profesional Baitulmal KL (794)  dan Kolej Islam Antarabangsa (426).

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berucap pada Majlis Pelancaran Jom Balik Raya bersama Mahasiswa di Universiti Poly-Tech Malaysia, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 MAC 2024.

Pada majlis sama MAIWP turut menyampaikan bantuan Gerobok Rezeki Universiti yang menyediakan barangan kering dan peralatan kebersihan diri untuk pelajar bagi tempoh 12 bulan berjumlah RM3 juta kepada 10 IPT dengan kerjasama Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia.

Bantuan gerobok rezeki yang dimulakan sejak 2019 ketika wabak Covid-19 menyerang melibatkan Universiti Malaya (RM600,000), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (RM540,000), UPTM (RM480,000), Unversiti Kebangsaan Malaysia KL (RM360,000) dan Kolej Islam Antarabangsa KL (RM360,000).

Turut mendapat bantuan itu adalah Universiti Teknologi Malaysia KL (RM180,000), Politeknik Kuala Lumpur (RM120,000), Universiti Sains Islam Malaysia KL (RM120,000), Kolej Queens KL (RM120,000) dan Universiti Kuala Lumpur (RM120,000).

Syed Kamarulzaman berharap lebih ramai tampil untuk menunaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat agar lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada umat Islam.

Sementara itu pelajar yang mendapat tajaan tiket pulang ke kampung mengucapkan terima kasih kepada MAIWP kerana bantuan itu meringankan beban kewangan mereka untuk beraya bersama keluarga.

Pelajar Ipt, Ahmad Nabiel Abidin bercakap kepada Malaysia Gazette pada Majlis Pelancaran Jom Balik Raya bersama Mahasiswa di Universiti Poly-Tech Malaysia, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 MAC 2024.

“Tiket kapal terbang pulang ke Kota Kinabalu, Sabah harga RM200 sebab hari Isnin, tiket balik RM800 sebab hari Ahad. Program ini sangat memberi manfaat kepada pelajar seperti saya. Harga tiket memang mahal terutama musim perayaan. Saya berterima kasih atas peluang yang diberikan oleh MAIWP,” kata pelajar perubatan UKMKL Ahmad Nabiel Abidin, 20.

Pelajar Ipt, Syarafana Juliana Zainal Abidin bercakap kepada Malaysia Gazette pada Majlis Pelancaran Jom Balik Raya bersama Mahasiswa di Universiti Poly-Tech Malaysia, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 MAC 2024.

“Walaupun harga tiket bas pergi balik ke Terengganu kira-kira RM140 namun ini satu jumlah yang besar bagi pelajar. Duit sebanyak itu boleh digunakan untuk kos makanan selama sebulan. Terima kasih MAIWP kerana menjadikan sambutan hari raya pelajar macam kami lebih bermakna, ” kata Syarafana Juliana Zainal Abidin, 25, pelajar perakaunan UPTM yang akan pulang ke Pasir Panjang.

Pelajar Ipt, Muhammad Hisyam Roslan bercakap kepada Malaysia Gazette pada Majlis Pelancaran Jom Balik Raya bersama Mahasiswa di Universiti Poly-Tech Malaysia, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 MAC 2024.

“Alhamdullilah selalu bila nak balik kampung masa hari raya memang susah dan beli tiket. Musim perayaan harga tiket memang naik contoh pergi Pulau Pinang biasa RM40 lebih, namun akan meningkat kepada RM60. Rasa lebih selamat pulang naik bas yang dibayarkan oleh MAIWP dan lebih meriah sebab kawan-kawan satu kampus pun bersama,” kata Muhammad Hisyam Roslan, 21, pelajar perakaunan UPTM. -MalaysiaGazette