Majikan degil gaji Pati, tunggu tindakan mahkamah

Majikan degil gaji Pati, tunggu tindakan mahkamah

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Golongan majikan yang berdegil apabila menggajikan pendatang asing tanpa izin (Pati) bukan sahaja akan dikenakan kompaun, malah bakal berdepan tindakan mahkamah.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, tindakan tegas itu diambil bagi menangani isu lambakan Pati khususnya di ibu negara.

Menurutnya, faktor majikan yang berdegil apabila menggajikan pekerja dalam kalangan Pati antara punca utama menyumbang kepada lambakan pendatang haram di ibu negara.

“Sepanjang tahun lalu, JIM Kuala Lumpur menjalankan 1,520 operasi penguatkuasaan di ibu negara di mana seramai 171 majikan ditahan.

“Tumpuan akan diberikan untuk menahan majikan dan selain kompaun, mereka juga akan disyorkan untuk dituduh di mahkamah.

“Kita mahu beri satu impak besar dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur destinasi yang selesa untuk semua orang,” katanya pada sidang media di Pejabat JIM Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan bagi memburu Pati akan dipergiatkan di ibu negara berikutan tamatnya Program Repatriasi Migran (PRM) yang berakhir pada 31 Disember lalu.

Katanya, pihaknya melaksanakan tiga operasi setiap hari dan memeriksa 8,656 warga asing dengan 3,007 Pati ditahan dalam operasi penguatkuasaan di ibu negara sepanjang 2024 lalu.

“Kita memerlukan kerjasama dan bantuan orang awam bagi menangani isu lambakan pati di ibu negara.

“Jangan lindungi Pati, jangan gajikan mereka, terus sampaikan aduan kepada kita (JIM) supaya negara bebas dari isu keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top