Majikan tidak beri peluang kepada OKU – Hima

Majikan tidak beri peluang kepada OKU – Hima

KUALA LUMPUR – Seorang gadis Orang Kelainan Upaya, Hima Koles Sri a/p Krishna merayu majikan-majikan supaya tidak memandang rendah kepada golongan itu.

Hima yang memiliki diploma pengurusan dari sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) berkata, dia telah banyak kali cuba mencari pekerjaan namun gagal.

Hima Koles Sri a/p Krishna

“Saya lihat susah untuk majikan ambil pekerja OKU. Banyak kali saya cuba tapi tidak dapat, mereka akan pandang lain, ada juga syarikat yang tidak ambil pekerja OKU.

“Saya harap majikan ambil semua orang tidak kira OKU atau biasa, jangan pandang rendah OKU,” katanya yang berusia 24 tahun.

Hima merupakan golongan OKU dari segi kurang upaya fizikal kerana saiz tubuh badannya lebih kecil, sudah dua tahun menamatkan pelajaran namun dia masih bergelut untuk mencari pekerjaan.

Hima antara salah seorang peserta Mini Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia Untuk OKU yang dianjurkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang berlangsung hari ini.

Lantaran itu, beliau menaruh harapan lebih banyak syarikat  tidak mendiskriminasi OKU sebaliknya memberi peluang kepada golongan itu menunjukkan kebolehan dalam pekerjaan.

Mohd Alif Aiman

Mohd Alif Aiman, 22, pula berharap Mini Karnival PenjanaKerjaya yang berlangsung hari ini dapat membuahkan rezeki kepadanya untuk mencari kerja tetap kerana dia kini hanya pekerja sambilan.

“Saya pekerja sambitan sebagai pembantu korperasi. Hari ini saya mohon Pegawai Khidmat Pelanggan.

“Acara mini karnival ini membolehkan saya mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan saya,” katanya yang memuji karinival ini kerana memberi manfaat kepada golongan sepertinya.

Lam Wei Lip

Sementara itu, Lam Wei Lip, OKU pertuturan pula berkata, sebelum ini pernah bekerja sebagai pengurus kedai di Petaling Jaya, namun diberhentikan sejak awal tahun kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sejak itu sehingga kini beliau masih tidak mempunyai pekerjaan.

“Akibat PKP memang ramai macam saya yang terkesan kehilangan pekerjaan,” kata beliau. – MalaysiaGazette