redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 57 wakil media dan rakan strategik dari 28 agensi diraikan sempena Majlis Iftar Silaturahim anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.
Majlis itu dianjurkan bagi menghargai bantuan dan komitmen agensi media serta rakan strategik dalam membuat hebahan mengenai inisiatif UPSI.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, sokongan itu amat bermakna malah menjadikan UPSI sebagai institut pengajian tinggi (IPT) terkemuka di negara ini.
“Terima kasih tidak terhingga atas segala bantuan rakan media dan pihak industri.
“Pada 9 Jun 2025, ketika kami dilanda dugaan dengan pemergian 15 anak syuhada (penuntut terkorban dalam kemalangan), pasukan media yang membantu kami dan ada bersama kami.
“Media juga mengangkat moral kami yang ketika itu sedih dan jasa kalian memang tidak terbalas,” katanya ketika berucap ketika menyempurnakan majlis berkenaan di sebuah hotel dekat sini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Menurut Md Amin, bantuan rakan media dan pihak industri juga banyak membantu UPSI melakar kejayaan antaranya tersenarai dalam kelompok universiti terbaik di dunia.
“Kini UPSI berada di tangga 101 terbaik di dunia dalam bidang pendidikan manakala
indeks tenaga hijau alam sekitar pula, UPSI berada di tangga 98 di dunia.
“Lebih banyak program dirangka dan akan diadakan pada masa akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




