NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa gagal menerima pakai draf resolusi yang “sangat menggalakkan” negara berkepentingan dalam laluan maritim komersial di Selat Hormuz untuk menyelaraskan usaha bersifat defensif bagi memastikan keselamatan pelayaran merentasi laluan air itu, termasuk mengiringi kapal dagang dan komersial.
Sebelas anggota Majlis Keselamatan mengundi menyokong draf resolusi itu, China dan Rusia mengundi menentang, manakala Colombia dan Pakistan berkecuali, lapor Xinhua.
Draf resolusi berkenaan dicadangkan oleh Bahrain dengan penyelarasan bersama rakan-rakan ahli Majlis Kerjasama Teluk iaitu Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu serta Jordan.
Dalam penjelasan mengenai undiannya, wakil tetap China ke PBB, Fu Cong, berkata draf resolusi itu gagal mengetengahkan punca dan gambaran penuh konflik secara menyeluruh dan seimbang.
“Perang ini tidak sepatutnya berlaku,” kata Fu, menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Israel untuk menghentikan “tindakan ketenteraan haram” mereka.
“Pada masa sama, AS secara terbuka mengancam kelangsungan sesebuah tamadun apabila permusuhan yang kini dikenakan ke atas Iran berkemungkinan besar akan terus meningkat. Draf resolusi itu, sekiranya diterima pakai, akan menghantar mesej yang sangat salah dan mempunyai akibat yang sangat serius,” kata Fu.
Vassily Nebenzia, wakil tetap Rusia ke PBB, berkata draf resolusi itu membentangkan tindakan Iran sebagai punca tunggal ketegangan serantau, manakala serangan haram oleh AS dan Israel terhadap Iran “tidak disebut sama sekali.”
Menyatakan bahawa draf resolusi itu “mempunyai unsur-unsur tidak seimbang, tidak tepat dan konfrontasi”, beliau berkata ia membentuk “pendekatan yang pada asasnya salah dan berbahaya” terhadap situasi di rantau itu dan implikasinya “jelas kepada kami”.
Wakil tetap Iran ke PBB, Amir Saeid Iravani, berkata draf itu bertujuan “menghukum mangsa kerana mempertahankan kedaulatannya dan kepentingan negara yang penting di Teluk Parsi dan Selat Hormuz, sambil menyediakan perlindungan politik dan undang-undang untuk tindakan melanggar undang-undang selanjutnya oleh penceroboh”.
“Pada dasarnya, ini ialah draf AS,” tambahnya, sambil menyatakan penghargaan kepada China dan Rusia atas tindakan bertanggungjawab mereka dalam melaksanakan kuasa veto, serta Pakistan dan Colombia kerana berkecuali dan mengiktiraf implikasi serius teks itu yang akan menormalkan penggunaan kekerasan berdasarkan dakwaan tidak jelas dan tidak berasas.
“Iran telah bertindak balas terhadap perang kejam menerusi langkah yang berkadar untuk menghalang laluan kapal yang dikaitkan dengan penceroboh, dan kapal yang tidak bermusuhan akan bebas menggunakan hak laluan mereka,” katanya. – Bernama



