am@hmetro.com.my
Putrajaya: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil peguam mewakili seorang individu yang dalam siasatan dianggap menjejaskan integriti keistimewaan profesional undang-undang.
Majlis Peguam Malaysia (Majlis Peguam) berkata, tindakan SPRM itu amat membimbangkan, kerana ia memberi isyarat berlaku pencerobohan terhadap hak-hak yang penting kepada pelaksanaan keadilan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Peguam mengutuk sekeras-kerasnya tindakan SPRM yang jelas melanggar peruntukan Seksyen 46, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.
Katanya, seperti yang diingatkan kepada SPRM dalam kenyataan media Majlis Peguam bertarikh 11 Jun kalau, bertajuk ‘Kepentingan untuk Melindungi Keistimewaan Profesional Guaman dan Hak untuk Perwakilan’ hak untuk diwakili peguam dan keistimewaan profesional guaman menjadi tunggak utama dalam sistem perundangan yang adil dan saksama.
Ia bagi memastikan mana-mana individu boleh mendapatkan dan menerima nasihat perundangan sulit tanpa rasa takut terhadap tindakan balas atau pelanggaran kerahsiaan.
Kenyataan itu menyebut, peruntukan dalam Seksyen 46 (1) Akta SPRM yang menyatakan bahawa peguam bela dan peguam cara mungkin dikehendaki mendedahkan maklumat iaitu Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis lain, seseorang Hakim Mahkamah Tinggi boleh, apabila permohonan dibuat kepadanya berhubungan dengan sesuatu penyiasatan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini, memerintahkan seseorang peguam bela dan peguam cara supaya mendedahkan maklumat yang tersedia kepadanya yang berkenaan dengan apa-apa transaksi atau urusan yang berhubungan dengan apa-apa harta yang boleh disita di bawah akta ini.
Bagaimanapun, Majlis Peguam berkata, tiada apa-apa jua dalam subseksyen (1) boleh menghendaki seseorang peguam bela dan peguam cara mematuhi apa-apa perintah di bawah subseksyen itu sehinggakan pematuhan itu akan mendedahkan apa-apa maklumat atau komunikasi terlindung yang sampai kepada pengetahuannya bagi maksud apa-apa prosiding yang belum selesai.
“Seksyen 46 Akta SPRM berfungsi sebagai tembok keselamatan berkanun, yang melindungi kerahsiaan nasihat perundangan yang penting kepada pelaksanaan keadilan yang sewajarnya.
“Ia jelas menyatakan bahawa pegawai penguat kuasa tidak boleh memaksa pengeluaran bahan yang mempunyai keistimewaan, memeriksa atau membaca sebarang dokumen sebaik sahaja keistimewaan itu ditegaskan, atau meneruskan tindakan tanpa terlebih dahulu mendapatkan ketetapan daripada Mahkamah Tinggi sekiranya kewujudan keistimewaan itu dipertikaikan,” katanya.
Kenyataan itu merujuk kepada tindakan SPRM memanggil peguam kepada ahli perniagaan Albert Tei, yang disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009, susulan dakwaan memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri untuk mendapatkan semula wang yang diberikan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.
Hari ini, peguam Mahajoth Singh yang mewakili ahli perniagaan Albert Tei dipanggil ke SPRM susulan notasi dikeluarkan mengikut Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009, yang memberi kuasa kepada SPRM untuk menghendaki mana-mana orang hadir dan mengemukakan dokumen atau rakaman diperlukan bagi membantu siasatan.
Mahajoth bagaimanapun menafikan dakwaan SPRM bahawa beliau memiliki “bukti penting” dan menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar dan keterlaluan, serta seolah-olah bertujuan mengelirukan orang ramai mengenai peranannya sebagai peguam bela.
Majlis Peguam berkata, keistimewaan tidak boleh dianggap terbatal semata-mata kerana siasatan sedang dijalankan.
Katanya, cubaan memintasi perlindungan itu tidak selaras dengan niat jelas Parlimen, serta melemahkan kedaulatan undang-undang.
Katanya, keistimewaan profesional guaman membenarkan anak guam secara bebas berkongsi dengan peguam yang mewakili mereka dan mendedahkan maklumat sensitif tanpa ragu-ragu supaya nasihat perundangan yang sewajarnya dapat diberikan.
“Keyakinan orang awam terhadap sistem kehakiman dan profesyen perundangan boleh merosot jika keistimewaan ini terhakis.
“Hakikat bahawa permintaan datang daripada pihak berkuasa penguat kuasa tidak mencairkan atau mengubah sifat keistimewaan.
“Prinsip ini telah ditegaskan dengan kukuh oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Tan Chong Kean lwn Yeoh Tai Chuan & Anor, ” katanya.
Kenyataan itu menyebut, perlindungan berkanun yang jelas bawah Seksyen 46 Akta SPRM dan pendirian mahkamah yang tidak berbelah bahagi, memboleh dokumen dan komunikasi yang mempunyai keistimewaan mesti kekal di luar jangkauan agensi penguat kuasa, termasuk SPRM, melainkan jika dibenarkan secara nyata oleh anak guam atau menurut perintah khusus daripada Mahkamah Tinggi.
Pada masa sama, Majlis Peguam berkata, kebimbangan berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia sudah berkali-kali dibangkitkan badan berkenaan sejak sekian lama.
Katanya, pekeliling yang dikeluarkan sebelum ini termasuk membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut mencerminkan pendirian badan iti selain pernah ditegaskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, dalam kes Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri lawan Badan Peguam Malaysia.
“Pekeliling-pekeliling yang lebih terkini memberikan panduan tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya siasatan dijalankan oleh agensi penguat kuasa, perlindungan bahan yang mempunyai keistimewaan, dan prosedur semasa serbuan awal pagi atau apabila pegawai penguat kuasa hadir di firma guaman.
“Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini menggariskan pendirian kami yang konsisten dan telah lama iaitu komunikasi dan dokumen anak guam adalah suci dan tidak boleh diakses tanpa kebenaran yang sewajarnya, dan sebarang pelanggaran prinsip-prinsip ini mengancam kedua-dua kedaulatan undang-undang dan integriti profesyen guaman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




