Majlis Peguam Syarie gesa pihak berkuasa agama pantau 'Coach Cerai'

Majlis Peguam Syarie gesa pihak berkuasa agama pantau 'Coach Cerai'

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan menggesa pihak berkuasa agama memantau individu dikenali ‘Coach Cerai’ kerana berisiko mendedahkan orang awam kepada nasihat yang tidak berasaskan undang-undang, hukum syarak atau etika profesional.

Presidennya, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, urusan perceraian, rujuk, hak penjagaan anak, nafkah dan semua perkara berkaitan undang-undang keluarga Islam tertakluk sepenuhnya kepada peruntukan undang-undang, hukum syarak serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Menurutnya, sebarang nasihat, panduan atau representasi dalam prosiding Mahkamah Syariah hanya boleh diberikan oleh individu berkelayakan dan diiktiraf undang-undang, khususnya Peguam Syarie yang berdaftar.

“Kehadiran individu yang bukan Peguam Syarie dalam prosiding perceraian, termasuk kes berprofil tinggi membabitkan artis, boleh memberi kesan kepada perjalanan kes daripada sudut rujukan dan pemerolehan pandangan yang mengelirukan.

“Individu yang bukan Peguam Syarie tidak mempunyai kelayakan atau autoriti untuk memberi nasihat undang-undang syariah, apatah lagi mencampuri strategi, hala tuju atau keputusan berkaitan prosiding Mahkamah Syariah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fakhrul Azman turut merujuk kepada Seksyen 35 Akta Profesion Guaman Syarie 2019 yang memperuntukkan bahawa mana-mana individu tidak diberi kuasa yang bertindak atau menyamar sebagai Peguam Syarie, atau memberi nasihat undang-undang syariah tanpa kelayakan, boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda dan hukuman penjara.

“Fenomena ‘Coach Cerai’ yang semakin tular di media sosial berpotensi merendahkan martabat institusi perkahwinan dan perceraian dalam Islam, mencetuskan salah faham masyarakat terhadap proses Mahkamah Syariah serta mendedahkan orang awam kepada nasihat yang tidak berasaskan undang-undang, hukum syarak atau etika profesional.

“Sehubungan itu, Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan menyeru orang awam supaya mendapatkan khidmat dan nasihat hanya daripada Peguam Syarie berdaftar, selain mengingatkan semua pihak agar tidak mempopularkan amalan yang boleh mengelirukan masyarakat .

“Majlis turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang didapati mengganggu amalan guaman syarie atau prosiding Mahkamah Syariah secara salah, selaras peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top