Majoriti kanak-kanak GISBH di Perak sudah dituntut keluarga, proses masih berjalan

Majoriti kanak-kanak GISBH di Perak sudah dituntut keluarga, proses masih berjalan

am@hmetro.com.my

Ipoh: Sebilangan besar daripada 55 kanak-kanak penghuni rumah amal kendalian Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang diselamatkan menerusi Op Global di negeri ini, sudah dituntut keluarga.

Tanpa mendedahkan angka secara terperinci, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed berkata, ketika ini proses tuntutan masih berlaku, namun ia tertakluk kepada hasil siasatan polis.

“Proses itu (tuntutan) masih berlaku. Saya tiada angka tepat secara spesifik, tetapi ya, kebanyakannya sudah dituntut keluarga, (namun) masih ada berapa proses yang bergantung kepada siasatan polis.

“Peranan JKM secara spesifiknya ialah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, kita melindungi kanak-kanak melalui siasatan yang dibuat, jadi itulah sahaja yang saya boleh beritahu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Sejahtera Warga Emas Negeri Perak 2024 di sini petang tadi.

Salbiah berkata, tiada penambahan kanak-kanak penghuni rumah amal kendalian GISBH di Perak yang diselamatkan menerusi Op Global selain daripada 55 kanak-kanak yang sebelum ini dilapor diselamatkan pada 26 September lalu.

Dalam perkembangan lain, Salbiah berkata, bayi lelaki yang ditemukan bertali pusat dalam semak di belakang surau di Kampung Permatang, Sitiawan, Manjung, Sabtu lalu masih dirawat di hospital sementara menunggu perintah mahkamah bagi ditempatkan di pusat jagaan JKM.

Katanya, JKM bertindak memberi perlindungan kepada bayi terbabit termasuk dengan mendaftarkan kelahirannya kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk perolehan sijil lahir sementara menunggu untuk ditempatkan di rumah perlindungan JKM sesudah selesai rawatan di hospital.

Ahad lalu, akhbar ini melaporkan bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dan masih bertali pusat ditemukan seorang ahli jawatankuasa surau yang terdengar bunyi tangisan bayi ketika membersihkan persekitaran surau itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top