Majoritinya ambil dadah sintetik

Majoritinya ambil dadah sintetik

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Sebanyak 134,916 individu direkodkan terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang bagi separuh pertama tahun ini, di mana majoritinya mengambil dadah sintetik.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, 97,329 individu (72.15 peratus) menggunakan dadah sintetik.

“Antara langkah kerajaan untuk menangani ancaman ini, khususnya dalam kalangan belia, adalah beberapa inisiatif di bawah program pencegahan, penguat kuasaan dan pemulihan.

“Ini termasuk mengadakan kempen kesedaran awam yang mensasarkan pelbagai segmen masyarakat, termasuk keluarga, institusi pendidikan, tempat kerja dan komuniti,” katanya.

Saifuddin menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN–Jelebu) mengenai tahap masalah dadah sintetik di Malaysia serta langkah yang diambil kementerian untuk membendung penyebaran bahan berbahaya yang semakin meningkat ini.

Beliau berkata, program lain yang dilaksanakan termasuk Family on Alert, Program Intelek Asuhan Rohani, Tomorrow’s Leader, Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya, Program Tempat Kerja Bebas Dadah dan Sukses, Matang, Aktif, Rasional, Tanggungjawab.

“Antara lain, kerajaan membangunkan Pelan Komunikasi Antidadah yang mensasarkan semua peringkat umur, termasuk belia, sebagai strategi untuk menangani ancaman dadah.

“Kerajaan juga mempertingkatkan aktiviti penguat kuasaan bersama pihak polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan agensi berkaitan lain untuk memerangi penyalahgunaan dadah di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, Pindaan Akta Penagih Dadah dan Penyalahgunaan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, yang berkuat kuasa pada 22 Ogos, meluaskan akses kepada rawatan untuk penagih dadah dan penyalahguna bahan terlarang.

Katanya, akta itu turut menggalakkan individu, termasuk belia, untuk tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan pemulihan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top