am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pesara guru yang meninggal dunia ketika menunaikan rukun Islam kelima, kelmarin teruja apabila mendapat tawaran haji, tetapi risau jika anak lelakinya tidak mengiringinya ke Tanah Suci.
Muhamad Haikal Hassan, 36, berkata ibunya Jamaliah Masron, 68, begitu bimbang jika berlaku sesuatu kepadanya kerana mempunyai masalah jantung sekali gus tidak boleh pergi ke Makkah seorang diri.
“Ini pertama kali mak pergi haji. Dari tahun lepas lagi mak nak pergi haji, tetapi tidak dapat. Mak nak buat rayuan tahun lepas, tetapi saya tak beri sebab saya belum bersedia.
“Alhamdulillah, tahun ini mak dapat panggilan haji dan dia sangat gembira. Saya terus buat permohonan rayuan untuk iring mak, sampaikan masa mak kena serah pasport, saya masih belum dapat jawapan (daripada Tabung Haji) sama ada dapat jadi pengiring atau tidak.
“Selagi tidak dapat jawapan, mak asyik ulang cakap kalau jadi apa-apa… kalau jadi apa-apa. Sebab mak tahu, dia tak boleh pergi seorang, dia nak saya teman,” katanya ketika dihubungi di Makkah, hari ini.
Jamaliah yang menetap dari Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, di sini, menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.05 petang (waktu tempatan) di Klinik Kecemasan Bangunan Abraj Janadriyah, kelmarin akibat serangan jantung.
Muhamad Haikal yang juga seorang guru di Pasir Gudang berkata, ibunya pernah ditahan wad di Hospital Kota Tinggi (HKT) pada minggu kedua Syawal lalu dan ketika itu, doktor tidak menggalakkan ibunya ke Makkah.
“Doktor minta rujuk dan dapatkan pandangan doktor di Institut Jantung Negara (IJN) memandangkan mak memang ada pemeriksaan susulan di sana.
“Mak mula buat pemeriksaan jantung pada 2013. Mak pernah menjalani pembedahan mengganti injap jantung di IJN pada 2022 dan memang selepas itu mak tak boleh terlalu aktif seperti dahulu.
“Doktor di IJN beri keizinan untuk pergi haji memandangkan keadaan kesihatan mak yang lain semuanya baik sahaja kerana mak jaga pemakanan,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.
Bercerita bagaimana keadaan ibunya ketika tiba di Makkah, Muhamad Haikal berkata, ibunya demam dan selesema pada minggu pertama.
“Cuaca sangat panas. Mak ada mengadu letih, saya selalu elakkan mak keluar waktu siang, macam nak buat umrah wajib pun, saya bawa mak pergi lepas 12 tengah malam. Saya akan tolak mak guna ‘wheelchair’.
“Kelmarin, ketika baru pulang dari Mina, nampak mak lemah masa sampai bilik lalu minta bawa pergi klinik. Mak cakap nak ke tandas, baru dua tiga langkah saya papah mak, mak terus rebah dalam dakapan saya dan senyap.
“Ketika di klinik, mereka berikan bantuan pernafasan dan pertolongan cemas, namun mereka sahkan mak meninggal dunia selepas 30 minit,” katanya.
Muhamad Haikal bersyukur, semua urusan pengebumian jenazah ibunya diuruskan Tabung Haji.
“Alhamdulillah, Tabung Haji uruskan semua urusan dari selepas mak disahkan meninggal dunia, sehinggalah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Syarayea.
“Saya buat panggilan video dengan semua saudara mara di Malaysia, hampir dua jam, semua dapat lihat perjalanan terakhir mak,” kongsinya.
Jamaliah dan Muhamad Haikal berlepas ke Makkah pada 23 Mei lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini, dan dijangka pulang 5 Julai depan dari Madinah.
© New Straits Times Press (M) Bhd