nurul.hidayah@hmetro.com.my
Sepang: “Setiap hari dianggarkan lima kali saya terpaksa menggantikan makanan pelanggan yang dimakan gagak,” kata Taryati Tarmizi, 39, yang juga pembantu kedai di medan selera di Jalan KLIA S3 di sini.
Menceritakan masalah itu, Taryati berkata, kemunculan gagak yang banyak di medan selera mula menjadi masalah serius sejak tahun lalu.
“Bukan sahaja gagak, burung merpati banyak di kawasan ini. Apabila ada burung (gagak atau merpati) datang, maka ada sekumpulan lagi datang.
“Meskipun kerap dihalau, mereka (burung) tetap datang semula dan mengganggu makanan pelanggan, sekali gus mendatangkan keadaan tidak selesa kepada pengunjung,” katanya.
Taryati yang sudah bekerja di medan selera itu sejak 16 tahun lalu berkata, dia terpaksa menggantikan makanan pelanggan yang dimakan gagak kira-kira lima kali sehari.
“Saya kasihan melihat pelanggan terpaksa beli makanan baru gara-gara makanan mereka dimakan gagak. Disebabkan itu, saya ganti makanan mereka secara percuma.
“Sudah pelbagai langkah diambil termasuk mengemukakan aduan berhubung masalah itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun masih belum menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.
Menurutnya, dia kini runsing memikirkan perkara itu yang dilihat seperti tiada penyelesaian.
“Sejujurnya saya bimbang sekiranya masalah ini berterusan, ia akan menyebabkan tidak ramai orang datang ke medan selera ini meskipun kami menawarkan harga makanan yang murah.
“Ini kerana orang ramai tidak selesa dengan kehadiran gagak yang banyak di sini, memandangkan ia mendatangkan masalah lain seperti isu kebersihan,” katanya.
Menurutnya, hanya terdapat lima kedai makan serta minuman beroperasi di medan selera terbabit.
Tinjauan Harian Metro di medan selera itu mendapati terdapat banyak gagak di atas meja serta kerusi selain berkumpul di kawasan lapang dalam lokasi berkenaan.
Malah, ada gagak dilihat berada di atas meja cuba mendekati pelanggan sedang menjamu selera.
Selain itu, ada juga gagak dilihat mengutip makanan di atas lantai berhampiran meja pelanggan serta gerai makan.
Sementara itu, seorang pengunjung, Muhammad Baihaqi Mohd Asmawi, 20, berkata, dia pernah berdepan situasi makanan dimakan gagak ketika menjamu selera di medan selera itu.
“Ketika kejadian, saya tinggalkan makanan atas meja kerana mahu mencuci tangan. Tidak sampai satu minit, saya lihat makanan saya sudah dimakan oleh gagak.
“Sejak kejadian itu, saya akan pergi ke medan selera berkenaan bersama rakan bagi membolehkan dia menjaga makanan di atas meja dan kami akan bergilir-gilir mencuci tangan,” katanya.
Muhammad Baihaqi berkata, meskipun medan selera itu terdapat banyak gagak, dia tetap memilih untuk menjamu selera di sana kerana harga makanan serta minuman yang murah.
“Dalam seminggu, ada dua ke tiga kali saya akan ke sini, untuk menjamu selera kerana harga makanan serta minuman murah selain dekat dengan tempat kerja.
“Di kawasan ini, tidak banyak pilihan kedai makan bagi golongan pekerja kerana lokasi yang terpencil,” katanya yang bekerja sebagai operator di sebuah syarikat berhampiran medan selera itu.
Sebagai pengunjung tetap di medan selera itu, dia berharap permasalahan terbabit dapat diselesaikan dengan segera.
“Rasanya masalah ini sudah berlanjutan sejak beberapa tahun lalu dan menyebabkan pengunjung berasa tidak selesa untuk menjamu selera di sini.
“Justeru itu, saya harap masalah ini dapat diselesaikan supaya pelanggan dapat menikmati makanan dengan tenang dan tidak diganggu oleh gagak,” katanya.
Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd