Kuala Lumpur: Jual maklumat pelanggan talian prabayar secara haram bagi perolehi keuntungan beratus ribu ringgit.
Itu antara tindakan seorang pengurus bahagian syarikat telekomunikasi yang didakwa menerima rasuah sebanyak RM315,000 bagi maklumat pelanggan dibocorkan.
Suspek lelaki berusia 50 tahun itu bagaimanapun bakal didakwa di mahkamah kerana disyaki menerima rasuah daripada syarikat pembekal kandungan sebagai balasan memberikan maklumat dan nombor pelanggan prabayar.
Difahamkan suspek lelaki berusia 50 tahun itu bakal berdepan beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di Mahkamah Shah Alam, Selangor esok.
Sumber berkata, suspek dikatakan menerima rasuah daripada syarikat-syarikat itu sejak tahun 2014 hingga tahun lalu membabitkan jumlah antara RM800 hingga RM55,000 bagi setiap transaksi.
Katanya, wang rasuah itu dibayar menerusi cek atau dimasukkan ke akaun bank suspek.
Sejak November tahun lalu, SPRM sudah menahan beberapa individu bagi membantu siasatan kes rasuah kakitangan syarikat telekomunikasi dan sindiket penipuan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
Malah Harian Metro sebelum ini membongkar kegiatan hampir 100 syarikat penyedia kandungan dikesan melakukan jenayah ‘menyedut’ kredit prabayar milik pengguna telefon bimbit menyebabkan mangsa kerugian hampir RM100 juta sejak 10 tahun lalu.
Difahamkan syarikat ini aktif ‘mencuri’ wang milik pengguna talian prabayar hasil kegiatan membeli data peribadi pengguna dengan menyogok kakitangan syarikat telekomunikasi (telco) tempatan.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kepada Harian Metro, syarikat ini akan menghantar pelbagai kandungan mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit pelanggan talian prabayar sebelum mangsa dikenakan caj antara 50 sen hingga RM5 bagi setiap penghantaran ‘sampah.’
Menurutnya, ramai pakar teknikal dan ‘orang penting’ syarikat telco yang dikesan bersekongkol dengan menjual data peribadi milik pelanggan berdaftar talian prabayar.




