'Makan roti canai sahaja, mahu caj sampai RM120?'

'Makan roti canai sahaja, mahu caj sampai RM120?'

am@hmetro.com.my

Seremban: Seorang lelaki tidak berpuas hati selepas mendakwa dia ‘disembelih’ sebuah restoran nasi kandar di Dataran Centrio, di sini.

Menerusi video berdurasi 5 minit 38 saat, lelaki berkenaan mendakwa dia pada mulanya dikenakan bayaran RM120 bagi makanan dan minuman termasuk kakitangannya di dua meja berasingan.

Dia membayar jumlah berkenaan, namun meminta pekerja restoran mengira semula harga bagi semua makanan, namun mendakwa pekerja enggan melakukannya dan terpaksa menunggu hampir sejam.

Bagaimanapun, selepas harga dikira semula, dia mendapati jumlah keseluruhan hanya sekitar RM70 sahaja sebelum meminta pekerja memulangkan kembali wangnya.

Lelaki itu turut mendakwa restoran berkenaan tiada tanda harga sekali gus mempersoalkan harga sebenar makanan dan minuman yang dikenakan.

“Makan roti canai sahaja, mahu caj sampai RM120? Kedai ‘you’ tiada tanda harga, tolong buat laporan polis. Bagi balik wang saya, sembelih saya buat apa,” katanya menerusi video yang tular.

Keadaan sedikit tegang di penghujung video apabila lelaki berkenaan yang sebelum itu kelihatan tenang mula meninggikan suara selain kelihatan anggota polis berada di lokasi.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pihaknya sudah menyiasat kejadian itu.

“Siasatan mendapati premis berkenaan mempamerkan tanda harga bagi setiap makanan yang dijual di tempat yang mudah dilihat pelanggan, selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Premis turut mengeluarkan resit jualan kepada pelanggan bagi setiap transaksi sebagai bukti pembelian dan rekod rasmi jualan. Pemeriksaan sistem di kaunter bayaran termasuk sistem rekod jualan dan paparan harga mendapati harga yang tertera sama dan selaras dengan harga yang dipaparkan dalam menu.

“Bagaimanapun, satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dikeluarkan kepada restoran membabitkan roti canai dan roti telur. Pihak premis diberikan tempoh empat hari bekerja untuk mengemukakan maklum balas lengkap bagi tujuan semakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top