Penyanyi dan cef selebriti, Fazley Yaakob menasihatkan orang ramai supaya menjaga adab ketika berada di restoran atau premis makanan, khususnya sepanjang Ramadan.
Menurutnya, setiap pelanggan yang berkunjung ke sesebuah restoran perlu menegur secara berhemah sekiranya terdapat kekurangan pada hidangan yang dipesan, tanpa perlu bertindak keterlaluan.

“Hanya mahu pesan, kalau kalian makan di luar bulan-bulan puasa ini, bawa-bawalah bersabar bila makanan itu tidak rasa sedap di tekak kalian.
“Tidak perlu nak marah-marah, siap panggil pengurus bagai. Tak sedap di mulut kalian, tetap ada yang boleh makan dan nikmati makanan tersebut.
“Tak perlu sombong rasa macam kalian terpaling juri Masterchef,” katanya menerusi perkongsian di Threads.

Makanan berbuka luar tak sedap?
Pelantun lagu Asmara Ini itu turut menekankan bahawa setiap individu wajar bersikap lebih sabar dan memaafkan sekiranya kekurangan pada hidangan yang diterima hanya melibatkan kesalahan kecil.
“Bawa bersabar, kalau setakat terkurang rasa, atau masak kicap rasa macam kari hangit, maafkan sahaja mereka.
“Melainkan kalau dalam bubur lambuk ada anak hamster tengah kuak lentang!,” selorohnya.

Artikel lain: Fazley Yaakob tegur jenaka berbaur lucah – “Hentikan lawak tentang ketat & basah”
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya bersetuju bahawa adab sebagai pelanggan perlu dijaga, lebih-lebih lagi dalam suasana Ramadan yang menuntut kesabaran dan toleransi.




