Makin lama gaji makin sedikit

Makin lama gaji makin sedikit

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Isu tambang dan upah yang tidak adil menjadi punca utama pendapatan penghantar serta pemandu e-hailing dan p-hailing merudum sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Abdul Hakim Abdul Rani berkata, sejak beliau menyertai industri itu pada penghujung 2015, pendapatan pekerja gig semakin menurun walaupun tempoh bekerja semakin panjang.

Katanya, persaingan tidak sihat dalam industri termasuk pengenalan sistem bidaan (bidding) tambang menyebabkan pengguna boleh menetapkan kadar 30 peratus lebih rendah daripada tambang yang dicadangkan sesetengah syarikat pengendali e-hailing (EHO), sekali gus menekan pemandu dan rider yang terpaksa menanggung kos penuh perkhidmatan.

“Pendapatan kami semakin lama semakin turun dengan tahun ini paling kritikal. Dulu saya pernah jadi penunggang p-hailing dengan meraih pendapatan kasar RM150 ke RM200 selama 12 jam sehari, tetapi kini mereka hanya mendapat RM60 dengan bekerja untuk tempoh lapan jam. Ini realiti yang kami hadapi.

“Macam e-hailing juga, dulu saya pernah dapat RM300 sehari pada 2015, sekarang walau kerja 15 ke 17 jam (sehari) belum tentu capai angka itu,” katanya dalam Podcast Harian Metro, Apa-Apa Saja di sini, baru-baru ini.

Abdul Hakim berkata, sejak sekian lama pihaknya mendesak kadar tambang lantai ditetapkan supaya memberi keadilan dan berbaloi kepada semua pihak termasuk vendor, operator serta pengguna.

“Bayangkan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) RM35 sedangkan perkhidmatan kami pintu ke pintu dan kos ditanggung kami 100 peratus.

“Kami tidak mahu tambang tinggi. Kami mahu tambang yang adil dan berbaloi dengan servis dan kos pekerjaan.

“Kami juga faham peranan EHO dan syarikat pengendali p-hailing (PHO). Tanpa mereka, kami pun tiada kerja tetapi biarlah industri ini lebih sihat dan adil,” katanya.

Katanya, mereka juga menyokong tindakan kerajaan menutup dua syarikat EHO yang didapati melanggar undang-undang termasuk membenarkan warga asing memandu dan gagal memenuhi syarat perlesenan.

“Mereka ini merosakkan industri secara keseluruhan. Kesalahan ini bukan kali pertama. Kerajaan perlu tegas dalam hal ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top