SEREMBAN: Rakyat Malaysia yang terkandas di Timur Tengah diminta memaklumkan kepada Kementerian Luar, sekiranya telah memperoleh penerbangan pulang ke tanah air bagi memudahkan proses pengurusan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu penting bagi membolehkan kementerian mengemas kini senarai rakyat Malaysia yang masih terkandas di negara terlibat.
Katanya, terdapat beberapa individu yang tidak menghubungi kedutaan selepas memperoleh tiket penerbangan pulang sehingga menyukarkan usaha pemantauan.
“Kedutaan kita sentiasa menghubungi mereka setiap hari untuk mengemas kini daftar, khususnya melibatkan rakyat Malaysia yang terkandas.
“Jadi, jika mereka sudah mendapat tiket penerbangan pulang, maklumkan kepada pihak kedutaan supaya kita boleh mengemas kini senarai dan mengetahui jumlah sebenar yang masih berada di sana,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan di Dewan Orang Ramai Taman Kelab Tuanku, Mambau di sini hari ini.
Mohamad berkata, lebih separuh rakyat Malaysia yang terkandas telah berjaya pulang ke tanah air.
“Setiap hari ada yang pulang, namun terdapat kekangan daripada segi penerbangan. Sebagai contoh, syarikat penerbangan Emirates sebelum ini mempunyai tiga penerbangan sehari ke Kuala Lumpur tetapi kini hanya satu penerbangan beroperasi.
“Keadaan ini menyebabkan proses membawa pulang rakyat Malaysia mengambil masa,” katanya.
Mohamad berkata, keadaan keselamatan di rantau berkenaan mula reda selepas Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memaklumkan tidak akan menyerang negara-negara Teluk buat masa ini.
Katanya, Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan terus memantau perkembangan konflik setiap hari.
“Kita menjangkakan perang ini belum berakhir dan berkemungkinan berlarutan kerana Iran mempunyai kekuatan tersendiri manakala Amerika Syarikat (AS) pula mahu melihat perubahan kerajaan di negara itu.
“Selagi perkara itu tidak berlaku, saya tidak menjangka konflik ini akan berakhir dalam masa terdekat kerana AS juga dilihat terus menghantar lebih banyak tenteranya ke kawasan Teluk,” katanya. – UTUSAN




