am@hmetro.com.my
Georgetown: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar makmal haram bagi kegiatan pemprosesan dadah jenis ganja dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM237,333 dalam serbuan di sini.
Susulan itu, dua lelaki warga tempatan berusia 27 dan 55 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dengan aktiviti berkenaan.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan yang dijalankan jam 3 petang Jumaat sehingga 9 pagi pada Sabtu itu membabitkan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang.
Katanya, pemeriksaan terhadap suspek pertama yang ditahan di kawasan tempat letak kereta menemukan bungkusan berisi bunga ganja.
“Berpandukan kad akses yang dirampas daripada suspek, pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah rumah di kawasan daerah Timur Laut dan turut melakukan rampasan paket berisi ketulan mampat dan bunga ganja.
“Turut dirampas ialah biskut dan coklat ganja, picagari dan pod vape berisi cecair ganja serta cecair kimia termasuk peralatan bagi pemprosesan dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Azizee berkata, lanjutan itu, suspek kedua yang merupakan rakan sejenayah kemudian ditahan di satu kawasan berasingan.
Katanya, hasil risikan mendapati aktiviti pemprosesan dadah oleh ‘pembekal’ itu bergiat aktif sejak Januari lalu dan keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 50,000 penagih sekiranya terlepas di pasaran.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Teyrahydrocannabinol (THC) selain mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.
“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana kenderaan dan wang tunai turut disita berjumlah RM237,333,” katanya lagi.
Menurut Azizee, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 13 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd




