suliati@hmetro.com.my
SAMPUL duit raya yang berwarna-warni itu mungkin kelihatan biasa bagi orang dewasa.
Namun, bagi sebahagian kanak-kanak, terutama anak orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, detik menerima duit raya adalah antara momen paling menggembirakan sepanjang sambutan Aidilfitri.
‘Dapat duit raya paling menggembirakan’. Ungkapan itu mungkin kedengaran biasa, tetapi di sebaliknya, tersimpan rasa keterujaan, dihargai dan disayangi yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Bagi mereka, duit raya bukan sekadar wang, tetapi simbol perhatian daripada keluarga dan orang sekeliling, sekali gus menjadi antara pengalaman paling diingati setiap kali tibanya Syawal.
Bagi kebanyakan umat Islam, Aidilfitri adalah saat yang dinanti-nantikan selepas sebulan berpuasa. Ia juga sinonim dengan kunjungan-mengunjung, juadah istimewa dan suasana kegembiraan.
Namun bagi anak OKU pembelajaran, makna hari raya sering difahami melalui pengalaman yang lebih sederhana, tetapi sangat bermakna iaitu melalui aktiviti harian, kebersamaan keluarga dan detik-detik kegembiraan kecil.
Perkara ini dapat dilihat melalui satu sesi perbincangan kumpulan fokus dan Majlis IFTAR yang dianjurkan oleh Akademi Permata Impian (APIM) baru-baru ini di La Pelangi Club House, Semenyih yang dihadiri lebih 20 OKU pembelajaran bersama ahli keluarga mereka.
Melalui perbincangan itu, mereka berkongsi pengalaman dan pemahaman mengenai sambutan Aidilfitri berdasarkan apa yang mereka alami bersama keluarga.
Walaupun berdepan cabaran dalam aspek pembelajaran, sebahagian peserta menunjukkan bahawa mereka mempunyai pengetahuan asas berkaitan Aidilfitri.
Ada yang dapat menyatakan bahawa Aidilfitri disambut pada 1 Syawal, manakala ada juga yang menyebut solat sunat Aidilfitri sebagai antara aktiviti penting pada hari itu.
Perkongsian ini menunjukkan bahawa pemahaman mereka mengenai perayaan ini banyak terbentuk melalui pengalaman yang dilihat dan dilakukan bersama ahli keluarga.
Pendedahan yang konsisten daripada ibu bapa serta persekitaran masyarakat membantu mereka mengenali makna asas Aidilfitri.
Ketua Penyelidik dan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Universiti Malaya, Dr Maisarah Hasbullah berkata, selain aspek ibadat, perkara yang paling kerap disebut oleh kanak-kanak ini ialah juadah Aidilfitri.
Menurutnya, antara perkataan yang sering muncul dalam perbincangan ialah ‘makan’ dan ‘rendang’, yang menggambarkan bahawa juadah tradisional memainkan peranan besar dalam pengalaman perayaan mereka.
“Bagi individu OKU, terutama yang mempunyai keperluan pembelajaran khas, pengalaman yang membabitkan deria seperti rasa, bau dan suasana rumah yang meriah lebih mudah difahami dan diingati.
“Tidak hairanlah makanan tradisional seperti rendang, lemang dan kuih-muih menjadi antara kenangan utama mereka apabila menyebut tentang Aidilfitri.
“Suasana makan bersama keluarga juga menjadi detik penting yang mengeratkan hubungan antara ahli keluarga, sekali gus menjadikan pengalaman perayaan lebih bermakna,” katanya.
Tidak lengkap sambutan Aidilfitri tanpa tradisi pemberian duit raya.
Bagi anak OKU pembelajaran ini, menerima duit raya antara perkara yang paling menggembirakan.
“Duit raya bukan sekadar wang, tetapi simbol perhatian, kasih sayang dan penghargaan daripada orang dewasa.
“Detik menerima sampul duit raya sering disertai dengan senyuman, keterujaan dan rasa dihargai.
“Pengalaman ini juga menunjukkan perkara yang kelihatan kecil bagi orang dewasa sebenarnya memberi kesan emosi mendalam kepada anak OKU,” katanya.
Selain makanan dan duit raya, kata Dr Maisarah, interaksi bersama keluarga turut menjadi antara kenangan penting semasa Aidilfitri.
Menurutnya, beberapa peserta menyatakan bahawa ‘ambil gambar dengan keluarga’ ketika sambutan Aidilfitri antara aktiviti yang disukai.
“Aktiviti ini mungkin kelihatan biasa, namun ia sebenarnya mencerminkan kepentingan kebersamaan dalam keluarga.
“Namun, bagi anak-anak ini, masa yang diluangkan bersama ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara menjadi pengalaman yang sangat bermakna.
“Gambar keluarga yang diambil pada pagi Aidilfitri bukan sekadar dokumentasi kenangan, tetapi juga simbol dan pancaran makna kebahagiaan dan keakraban yang dirasai oleh mereka,” katanya.
Dapat juga dilihat bahawa sambutan Aidilfitri bagi anak OKU pembelajaran ini berkait rapat dengan tiga elemen utama iaitu ibadat, interaksi keluarga dan kegembiraan.
Bagi mereka, ibadat seperti solat sunat Aidilfitri memberikan pengenalan kepada aspek keagamaan.
Interaksi keluarga pula membina rasa kebersamaan dan kasih sayang.
Pengalaman kegembiraan pula hadir melalui aktiviti seperti menikmati juadah tradisional dan menerima duit raya.
Gabungan ketiga-tiga elemen ini menjadikan Aidilfitri satu pengalaman yang sangat bermakna dan sentiasa dinantikan bagi mereka walaupun pemahaman mereka mungkin tidak kompleks.
Dr maisarah berkata, dapatan ini memberi peringatan kepada masyarakat bahawa sambutan perayaan semestinya bersifat inklusif dan memberi ruang kepada semua golongan untuk merasai kegembiraan dan kemeriahan Aidilfitri, termasuk individu OKU.
“Sokongan keluarga, guru dan komuniti memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak ini dapat menyertai aktiviti perayaan dengan selesa dan bermakna.
“Natijahnya, makna sebenar Aidilfitri bukan hanya terletak pada kemeriahan atau persiapan yang besar, tetapi pada nilai kebersamaan, kasih sayang dan kegembiraan yang dikongsi bersama.
“Bagi anak OKU di Semenyih, Aidilfitri mungkin difahami melalui perkara sederhana. Tetapi daripada senyuman, kasih sayang dan kebersamaan itulah mereka merasai keindahan dan keikhlasan Aidilfitri yang sebenar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




