Pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun terkilan apabila masyarakat Malaysia sudah mula terikut-ikut dengan trend yang diambil dari siri drama popular Korea Selatan iaitu, S-Line.
Kata Asma, anak-anak muslim kian terbuka membuka aib sendiri kepada khalayak.
Lebih menyedihkan, ramai yang meniru dan menyebar aib tanpa rasa bersalah seolah-olah ia adalah hiburan biasa.
“Menggigil baca, anak-anak muslim kita dengan segaja menjatuhkan maruah dan melondehkan aib sendiri di hadapan ribuan mata.
“Bahkan, lebih sedih, ramai yang menyebar dan meniru tanpa rasa bersalah, seolah-olah ia hanyalah hiburan biasa.
“Dahsyatnya fitnah akhir zaman! Maksiat dan dosa bukan lagi disembunyikan, bahkan ditayang, disebar dan dibanggakan dengan alasan ikut trend,” katanya.
Dalam hantaran sama yang dimuat naik di Instagram, Asma menegaskan, tindakan menormalisasikan maksiat adalah haram dan dilarang dalam agama Islam.
Malah, tindakan tersebut juga mengundang murka Allah SWT.
Jelasnya, meskipun trend S-Line ini kelihatan seperti gurauan ringan namun ia membawa kerosakan besar terhadap akhlak dan maruah masyarakat.
“Perbuatan membuka aib, berbangga dengan dosa dan menormalisasikan maksiat adalah haram serta dilaranag keras dalam Islam, bahkan mengundang murka dan bala Allah. Na‘uzubillahi min dzalik.
“Inilah yang sedang berlaku. Maksiat dihias, dosa dikaburkan dari hati, lalu disebarkan tanpa rasa bersalah. Apa yang patut disesali dalam doa dan taubat, kini dijadikan bahan hiburan di skrin,” jelasnya.