Malam 3 Suara! Rizky Febian, Fabio Asher & Anggi Marito Bakal Gegar Malaysia 14 Disember Ini

Malam 3 Suara! Rizky Febian, Fabio Asher & Anggi Marito Bakal Gegar Malaysia 14 Disember Ini

Idea Live Arena bakal menjadi saksi kepada sebuah konsert eksklusif pada 14 Disember depan apabila tiga bintang muzik Indonesia iaitu Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito berkongsi pentas buat pertama kali di Malaysia.

Konsert anjuran Strategy X Entertainment Sdn. Bhd. ini diberi judul Malam 3 Suara dan dijangka menarik ribuan penonton.

Persembahan lebih dua jam itu bakal membawa peminat menghayati sebuah perjalanan muzik penuh emosi, menggabungkan tiga identiti vokal yang berbeza tetapi saling melengkapi.

Wakil penganjur berkata konsert ini direka bukan sahaja sebagai hiburan, tetapi sebuah pengalaman seni yang menyentuh jiwa.

“Setiap penyanyi membawa kekuatan tersendiri. Anggi Marito dengan kelembutan vokalnya, Fabio Asher dengan balada penuh perasaan, manakala Rizky Febian hadir dengan pesona dan gaya pentas yang bertenaga. Apabila digabungkan, lahir harmoni yang indah untuk penonton,” kata wakil Strategy X Entertainment.

Penganjur menambah bahawa Malam 3 Suara menampilkan konsep penceritaan melalui muzik, membawa penonton menyelami kisah cinta, rindu, harapan dan kebersamaan.

“Inilah tujuan konsert ini, meraikan kekuatan tiga suara, tiga jiwa dan satu cerita dalam sebuah malam istimewa,” katanya.

Konsert akan dibahagikan kepada beberapa segmen termasuk persembahan solo setiap artis, nyanyian duet serta kolaborasi khas yang hanya boleh disaksikan pada malam itu. Lebih 20 lagu popular bakal dipersembahkan, dipilih bagi memastikan penonton benar-benar merasai perjalanan emosi seperti yang dihasratkan penganjur.

Rizky Febian turut berkongsi keterujaannya untuk kembali ke Kuala Lumpur.

“Saya gembira kerana berpeluang bertemu semula peminat Malaysia. Malam itu saya ingin berkongsi muzik dengan lebih dekat dan mencipta kenangan indah bersama semua,” katanya.

Konsert Malam 3 Suara bakal berlangsung pada 14 Disember 2025 (Ahad), bermula jam 8.00 malam di Idea Live Arena, Kuala Lumpur. Persembahan istimewa ini menawarkan pelbagai kategori tiket mengikut aras tempat duduk.

Untuk kategori Ground Floor, tiket dijual pada harga RM448 bagi zon Malam Rawan, RM388 untuk Hingga Tua Bersama, RM298 untuk Rumah Singgah, RM228 untuk Cara Mencintaimu, dan RM188 bagi zon Tak Segampang Itu.

Sementara itu, bagi kategori Upper Floor, tiket berharga RM338 untuk zon Kesempurnaan Cinta, RM288 bagi Bertahan Terluka, RM268 untuk Tanpa Rasa Bersalah, manakala zon Makna Cinta ditawarkan pada harga RM318.

Harga yang dinyatakan tidak termasuk caj pemprosesan. Tiket mula dijual pada 12 September 2025 melalui laman rasmi www.ticket2u.com.my/malam3suara
.

Scroll to Top