am@hmetro.com.my
SELEPAS ‘mini showcase’ pada 2014, kumpulan Bunkface kembali menggegarkan pentas di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dengan berjaya menarik lebih 900 penonton.
Konsert berdurasi 90 minit itu dimulakan kira-kira jam 8.30 malam dengan kemunculan vokalis Bunkface, Sam menerusi lagu Bunk Anthem untuk membuka tirai persembahan pada malam itu.
“Thank you for coming! (Terima kasih kerana datang). Malam Ini Kita Punya,” katanya ketika membuka tirai konsertnya yang turut diletakkan meja dan minuman sebagai props di pentas.
Selain Sam, kumpulan ini menampilkan anggota seperti Pa’an (pemain gitar utama), Youk (bes), Biak (dram).
Menghiburkan penonton menerusi 20 rangkaian lagu hits seperti MKP, Korang, Rentak Laguku, Prom Queen, Xtravaganza, Hilang, Dunia, Masih Di Sini, Fine, Soldier, High School Rocker, Silly Lily, I Miss U / Suara, Kembali, Panik, Biarlah, Situasi, Revolusi dan Darah Muda.
Ketika menyampaikan lagu berjudul Korang, Sam berkata, ia dirakamkan kumpulan itu ketika fasa pandemik virus Covid-19.
“Lagu Korang ini kami buat ketika musim Covid-19 dan dalam keadaan stres tapi kami berjaya menghasilkan lagu yang boleh ‘sing along’, (menyanyi bersama) dengan peminat,” katanya.
Pada konsert itu, Sam bukan sahaja menjadikan suasana ‘happening’ dengan pilihan lagu rancak dan bertenaga, malah dia juga bijak berkomunikasi dengan penonton.
Malah, Sam juga nampak sangat ‘sporting’ turun ke bawah pentas untuk buat panggilan video ‘face time’ dengan anak kepada seorang penonton dalam dewan yang juga peminatnya.
Walaupun Sam memberitahu penonton anggota kumpulan itu sudah ‘tua’ (berusia) kerana bakal mencecah usia 40 tahun tapi mereka tetap nampak ligat dan lincah di pentas.
Kumpulan itu juga menampilkan barisan pemuzik sendiri dan bukan pemuzik penuh orkestra untuk mengiringi konsert mereka.
“Kami tampil dengan band sendiri dan bukan dengan iringan orkestra tetapi dengan rangkaian lagu yang lebih banyak.
“Lagu-lagu kami juga jenis ‘bising’,” katanya.
Persembahan diteruskan dengan lagu yang baru dilancarkan kumpulan itu berjudul Hilang.
Dari awal hingga akhir, kumpulan itu tampil dengan lagu rancak dan cukup ligat di pentas.
Bunkface turut menyampaikan lagu istimewa Masih Di Sini yang juga lagu runut bunyi filem Boboiboy The Movie, kira-kira 10 tahun lalu.
“Harapan kami lagu ini beri ‘energy’ (tenaga) positif buat golongan kanak-kanak di luar sana,” katanya.
Sementara itu, selepas berhenti rehat selama 20 minit, Bunkface kembali meneruskan persembahan untuk set kedua pada jam 10 malam.
Kali ini, Sam hanya tampil solo di pentas, menyanyi sambil memetik gitarnya.
“Alhamdulillah, saya sudah ada empat anak selepas berkahwin buat kali kedua.
“Sebagai bapa, memang susah kita nak bahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga.
“Terima kasih kepada bapa saya, Mohd Baharum dan ahli keluarga yang hadir beri sokongan pada konsert ini,” katanya.
Konsert turut dihadiri adiknya, pelakon popular, Siti Saleha.
Pada jam 10.21 malam, Sam menjemput peminat yang bernama Omar untuk menyanyi dengannya dengannya di pentas.
Bila Sam berehat seketika, dua anggota Bunkface pula mengambil alih untuk menyanyi di pentas.
Sam juga memberitahu penonton, dia perlu menyampaikan lagu popular kumpulan itu, Situasi kerana ramai yang memberi maklum balas itu lagu zaman kanak-kanak mereka dulu.
Persembahan diteruskan dengan lagu Revolusi yang ditujukan khas buat semua di mana revolusi untuk industri seni tanah air.
Konsert Bunkface diakhiri dengan lagu Darah Muda yang juga lagu terakhir mereka pada malam itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




