georgie@hmetro.com.my
Peminat muzik R&B tanah air pastinya teruja dengan berita kunjungan ikon legenda dan penerbit muzik terkemuka Babyface, 66, ke Kuala Lumpur untuk sebuah konsert yang amat dinanti-nantikan.
Bintang antarabangsa ini dijadualkan menggegarkan pentas pada 30 Oktober nanti, menjanjikan satu malam yang penuh dengan nostalgia dan alunan melodi R&B yang malar segar.
Konsert istimewa itu akan berlangsung di Idea Live Arena pada hari Khamis, bermula jam 8.30 malam. Peminat bakal dibawa mengimbau kenangan terindah melalui persembahan karya klasik Babyface.
Babyface atau nama sebenarnya Kenneth Brian Edmonds, bukan calang-calang nama dalam dunia muzik. Dia seorang artis rakaman, penulis lagu, dan penerbit yang sudah memenangi 13 Anugerah GRAMMY.
Dia diiktiraf sebagai antara daya kreatif paling berpengaruh dalam sejarah muzik moden. Antara pencapaiannya paling uniknya adalah menang trofi Penerbit Terbaik Tahunan di Anugerah GRAMMY sebanyak empat kali.
Lebih mengagumkan, tiga daripada kemenangan itu diraih secara berturut-turut dari tahun 1995 hingga 1997, satu rekod yang masih belum dapat dipecahkan sehingga ke hari ini.
Pengaruh Babyface tidak terhenti pada karya solonya. Dia juga pengasas bersama syarikat rakaman legenda, LaFace Records, yang bertanggungjawab melancarkan karier nama-nama besar seperti Usher, Toni Braxton, TLC, Outkast, dan juga P!nk.
Kejayaannya sebagai eksekutif muzik membuktikan visinya yang tajam dalam mengenal pasti bakat baharu.
Perjalanannya dalam muzik bermula dari Indianapolis. Minatnya terhadap penulisan lagu mula berputik seawal usia 12 tahun. Selepas tamat sekolah, dia menandatangani kontrak rakaman pertamanya selepas menyertai kumpulan Manchild.
Kemudian, dia menempa nama sebagai gitaris dan penulis lagu untuk kumpulan R&B, The Deele, pada era 1980-an.
Sepanjang lima dekad kariernya, Babyface sudah melancarkan tiga album multi-platinum berturut-turut yang melonjakkan namanya. Album Tender Lover (1989) menampilkan lagu hit nombor satu, Tender Lover.
Tidak ketinggalan album For the Cool in You (1993) yang memuatkan lagu Never Keeping Secrets dan When Can I See You. Album The Day (1996) pula memuatkan lagu ikonik Every Time I Close My Eyes.
Selain kejayaan sebagai artis solo, kehebatannya sebagai penulis lagu dan penerbit tiada tandingan. Dia menghasilkan lagu-lagu hit senarai artis gergasi termasuk Bobby Brown, Boyz II Men, Eric Clapton, Madonna, Beyoncé, Bruno Mars, Ariana Grande, dan Mary J Blige.
Sentuhan magisnya turut diakui legenda lain seperti Celine Dion, Aretha Franklin, George Michael, Michael Jackson, dan Justin Bieber. Dia juga bekerjasama dengan Phil Collins, Janet Jackson, NSYNC, Stevie Wonder dan ramai lagi.
Antara pencapaian meganya juga adalah sebagai penerbit dan penulis bersama untuk lagu pemenang Anugerah Oscar, When You Believe dendangan secara duet oleh dua diva tersohor, Whitney Houston dan Mariah Carey.
Pastinya peminat setia tidak mahu lepaskan peluang keemasan menyaksikan sendiri persembahan seorang legenda muzik terhebat dunia. Untuk satu malam, peminat bakal dihidangkan persembahan yang intim.
Jualan tiket konsert itu sudah bermula sejak 7 Ogos lalu secara eksklusif melalui laman sesawang golive-asia.
© New Straits Times Press (M) Bhd