Malam mendengar Nadin Amizah

Malam mendengar Nadin Amizah

najiy.jefri@hmetro.com.my

PENYANYI dan penulis lagu berbakat dari Indonesia, Nadin Amizah bakal mengadakan persembahan Malam Mendengar Nadin Amizah selepas menerima permintaan tinggi daripada peminatnya di sini.

Persembahan istimewa itu bakal diadakan Mei ini di Zepp Kuala Lumpur.

Selepas kejayaan acara Malam Mendengar di Jakarta tahun lalu, Nadin akhirnya membawa konsep istimewa ini ke pentas Malaysia, menjadikannya sebagai satu peristiwa yang wajib bagi peminatnya.

Nadin Amizah berkata, Malam Mendengar bukan sekadar persembahan biasa, tetapi sebuah pengalaman yang dicipta untuk mendekatkan dirinya dengan penggemarnya melalui muzik dan lirik yang penuh makna.

“Saya sangat gembira dan terharu, tapi pada masa sama gementar untuk memenuhi jangkaan dan harapan peminat di Malaysia,” katanya.

Apa yang membuat persembahan ini lebih istimewa adalah susunan muziknya yang lebih segar dan berbeza daripada penampilan Nadin sebelum ini di Malaysia.

Buat pertama kali, dia akan mempersembahkan gubahan muzik orkestra, sekali gus memberikan nuansa baru kepada lagu-lagu yang sudah begitu dekat di hati peminat.

“Saya berharap peminat di Malaysia dapat meluangkan waktu untuk menonton persembahan Malam Mendengar ini, dan juga menjadi saksi perkembangan saya sebagai pemuzik dari pertama kali berkunjung ke Malaysia,”katanya.

Sementara itu, penganjur dari Renjana Idea, Siti Azlina berkata, penganjuran Malam Mendengar Nadin Amizah bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi sebuah pengalaman penuh emosi yang bakal menghubungkan Nadin dengan peminatnya dalam suasana lebih intim dan eksklusif.

“Kami sangat teruja dapat membawa Malam Mendengar ke Kuala Lumpur selepas kejayaannya di Jakarta.

“Peminat Malaysia sudah lama menantikan peluang untuk merasai pengalaman unik ini secara langsung. Ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi satu perjalanan muzik yang mendalam dan penuh makna.

“Kami percaya susunan muzik baharu ini akan memberi pengalaman yang lebih istimewa kepada penonton. Ia juga menjadi peluang untuk mereka melihat perkembangan dan kematangan Nadin sebagai seorang artis, “katanya.

Nadin sememangnya bukan nama asing di Malaysia, dengan lagu-lagunya yang penuh emosi dan puitis sering menjadi siulan peminat muzik indie dan alternatif.

Persembahan Malam Mendengar Nadin Amizah kali ini bukan saja bakal membawa perjalanan nostalgia, tetapi juga memberi ruang kepada peminat untuk menikmati keunikan karya Nadin dalam susunan yang lebih matang dan emosional.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top