Malam istimewa yang menyatukan muzik, emosi dan perjalanan seni yang mendalam, penyanyi tersohor Noryn Aziz bakal menyinari Auditorium DBKL menerusi konsert solo eksklusif bertajuk ‘This Is Noryn Aziz’.
Lebih daripada sekadar persembahan pentas, konsert ini adalah satu pengalaman sinematik dan intim yang membawa penonton menyelami kisah hidup serta evolusi muzik seorang figura ikonik yang telah membentuk landskap jazz dan R&B Malaysia.
“This Is Noryn Aziz bukan hanya konsert. Ia adalah cerminan siapa saya sebagai penyanyi, wanita dan anak seni Malaysia,” katanya.
Dengan hanya 500 tempat duduk eksklusif disediakan, malam ini menjanjikan keindahan persembahan yang disusun rapi dalam dua babak menggambarkan spektrum penuh muzik dan personaliti Noryn.
Menampilkan karya-karya segar seperti, Kaki Kiriku (campuran nuansa Parisian dan Melayu), Syurga Sempurna dan Hoore Hoore dalam susunan jazz moden klasik, babak ini bakal memikat jiwa dengan kelembutan vokal dan susunan muzik yang elegan.
Manakala, dalam babak kedua yang dinamakan sebagai ‘Babak Celebration’, Noryn akan tampil dengan susunan lagu seperti, Fantasi O Realiti, Alam Maya dan Persembahan R&B kontemporari yang penuh semangat dan kehangatan.
Bahkan, ia juga satu penghormatan kepada pengaruh muzik seperti Ella Fitzgerald, Anita Baker dan Datuk Sheila Majid, tetapi dihidangkan sepenuhnya dengan jiwa dan citarasa Malaysia.
‘This Is Noryn Aziz’ turut menjadi platform untuk memperkasakan generasi pemuzik muda, terutamanya wanita dalam genre jazz yang sering dianggap eksklusif.
Konsert ini adalah usaha Noryn untuk membawa jazz lebih dekat kepada khalayak .
“Saya mahu jazz itu berbunyi seperti kita: dengan bahasa kita, ritma kita dan jiwa kita,” tambahnya.
Untuk maklumat mengenai konsert, ‘This Is Noryn Aziz’ akan diadakan di Auditorium DBKL, Menara DBKL 1, pada 19 September 2025 bermula jam 8 malam. Dan tiket boleh didapati di ticketonline