nurul.hidayah@hmetro.com.my
Hulu Langat: Hasrat seorang lelaki membersihkan rumahnya di Kampung Sungai Semungkis, Batu 14 di sini, sebagai persiapan menjelang perkahwinannya hujung bulan ini berakhir tragedi apabila dia maut selepas disengat tebuan, 30 Disember lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa, Abdul Hamid Mohd Taufek, 29, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Batu 14 di sini, pada hari sama.
Menceritakan kejadian itu, rakannya, Khairul Affendi Rahim, 36, berkata, ketika kejadian, Abdul Hamid sedang membersihkan rumah serta menunggu kehadiran juruteknik untuk melakukan servis penyaman udara.
“Sebelum kejadian, arwah sempat solat Zuhur berjemaah di surau sebelum pulang ke rumah untuk membersihkan rumah.
“Saya dimaklumkan ketika mengemas rumah, arwah disengat tebuan tanah ketika membuka ruangan penyaman udara di luar rumahnya.
“Tidak lama selepas disengat (tebuan), arwah bergegas ke rumah jiran dan maklumkan berkenaan perkara itu. Difahamkan arwah pengsan beberapa minit kemudian dan dibawa ke Klinik Kesihatan Batu 14 untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Semungkis, di sini, kelmarin.
Khairul berkata, Abdul Hamid diberikan bantuan kecemasan pernafasan (CPR) kira-kira 30 minit sebelum disahkan meninggal dunia.
“Pemeriksaan di rumahnya mendapati terdapat sarang tebuan tanah di dalam kompresor penyaman udara di luar rumahnya. Kami percaya dia diserang tebuan yang berada di dalam sarang berkenaan.
“Sehingga kini, kami masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian Abdul Hamid.
“Namun, difahamkan masalah resdung serta alahan terhadap makanan laut mungkin menyebabkan bisa tebuan lebih cepat merebak dalam badannya,” katanya yang bekerja sebagai pembantu teknikal.
Menurutnya, Abdul Hamid adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan tinggal berdua bersama neneknya selepas kematian ibu serta bapanya beberapa tahun lalu.
“Arwah bekerja di sebuah syarikat swasta. Dia sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya 23 Januari ini.
“Dia kerap bercerita dengan kami (rakannya) mengenai perkahwinannya dan sudah melakukan beberapa persiapan bagi majlis berkenaan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi rakan Abdul Hamid, Mohd Safwan Shari, 34, berkata, arwah adalah seorang yang warak dan dikategorikan sebagai ‘orang kuat’ di Surau Ahmadiah Diniah, Kampung Sungai Semungkis.
“Arwah banyak banyak terbabit dengan aktiviti di kampung ini. Malah, dia orang kuat di surau sehingga saya selaku pengerusi surau melantik dia sebagai imam ketiga.
“Pemilihan itu disebabkan kebolehannya yang adalah bekas pelajar tahfiz, seorang hufaz serta aktif dalam aktiviti di surau termasuk memimpin bacaan Yasin pada setiap Khamis,” katanya.
Katanya, sebelum kejadian, Abdul Hamid ada menunjukkan tingkah laku luar biasa ketara termasuk perubahan sikap pendiam kepada mesra dan ramah.
“Arwah ada buat permintaan pelik iaitu meminta kami (rakan) yang membentuk kumpulan kompang di kampung ini untuk memakai baju berwarna putih pada majlis perkahwinannya nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




