Malaysia ada potensi besar kembangkan perdagangan halal – PM

Malaysia ada potensi besar kembangkan perdagangan halal – PM

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Malaysia mempunyai potensi besar untuk mengembangkan perdagangan industri halal berdasarkan kekuatan dan pengiktirafan pensijilan yang dimiliki.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, industri halal mempunyai nilai dagangan melebihi AS$1 trilion (RM4.5 trilion) yang cukup besar.

Apatah lagi, katanya pensijilan halal Malaysia dikenali oleh banyak negara Islam dan bukan Islam sehingga mereka mahu menjalinkan kerjasama.

“Saya baru-baru ini (dalam lawatan kerja) ke negara Islam dan bukan Islam antaranya Mesir, Arab Saudi, China, Vietnam dan Laos semua minta nak kerjasama dengan Malaysia (dari segi pelaburan halal).

“Ini kerana, Malaysia mempunyai nama dan kekuatan serta pengiktirafan dari segi pensijilan halal,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) ke-13, di sini, hari ini.

PIHEX 2024 yang berlangsung selama empat hari bermula 5 Disember lalu membabitkan 200 peserta pempamer yang terdiri daripada usahawan tempatan, usahawan luar negara, jabatan serta agensi kerajaan dan institusi perbankan.

Ia adalah salah satu komitmen kerajaan Pulau Pinang bagi merakyatkan industri halal di negeri itu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan amat memandang serius dalam memperkasakan industri halal supaya ia dapat menjadi pusat kegiatan ekonomi termasuk kewangan Islam mengikut matlamat ‘maqasid syariah’.

“Bila bercakap soal halal ia tidak hanya terhad kepada penyembelihan daging, malah ia turut berkaitan dengan sektor pembuatan, kosmetik dan sebagainya. Sama juga dengan bank tidak mempunyai unsur riba dan menetapi syariah.

“Dalam hal ini, Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) perlu bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain termasuk Halal Development Corporation, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

“Ini supaya pengertian berkenaan industri (halal) ini lebih lengkap dan mantap, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.

Beliau berkata, industri halal mempunyai faktor tarikan di peringkat antarabangsa kerana pengertiannya sudah mencapai tahap global dan berupaya menjana kegiatan ekonomi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top