Malaysia Airlines tambah 124 penerbangan sempena cuti sekolah

Malaysia Airlines tambah 124   penerbangan sempena cuti sekolah

MALAYSIA Airlines menambah jadual penerbangannya dengan 124 penerbangan ke destinasi domestik dan antarabangsa terpilih berikutan permintaan perjalanan meningkat semasa Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah akan datang bermula Februari hingga Mac 2024.

Syarikat penerbangan nasional itu turut menambah 12 pesawat sepanjang Tahun Baharu Cina untuk penumpang ke dan dari Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang, menerusi pesawat Airbus A330-200 dan A330-300 miliknya, katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Komersial Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines, Dersenish Aresandiran berkata, penerbangan berjadual strategik tambahan ketika Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah itu menawarkan pilihan dan kemudahan dipertingkat, mencerminkan dedikasi Malaysia Airlines untuk memastikan setiap perjalanan lancar dan menyeronokkan.

“Kami memperkenalkan penerbangan tambahan ini sebagai bukti komitmen kepada negara dan rakyat, memastikan mereka berpeluang pulang semasa musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, syarikat sekutu Malaysia Airlines, Firefly, baru-baru ini, mengendalikan penerbangan antarabangsa pertama ke Tawau, Sabah.

Penerbangan carter itu berlepas dari Nanjing, China dengan membawa 157 penumpang dan tiba di Tawau pada 23 Januari 2024.

“Firefly mengendalikan penerbangan carter tiga kali seminggu, yang dijadualkan tiba di Tawau setiap Selasa, Khamis dan Sabtu, dengan kapasiti 540 tempat duduk seminggu sehingga akhir Mac 2024,” katanya. -Bernama

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top