Malaysia Airlines, Trip.Biz meterai MOU strategik mudahkan perjalanan PKS

Malaysia Airlines, Trip.Biz meterai MOU strategik mudahkan perjalanan PKS

PETALING JAYA: Malaysia Airlines dan Trip.Biz, cabang Business Travel Trip.com Group menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) strategik bagi menyediakan penyelesaian perjalanan perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merentasi pasaran utama di Asia, Eropah dan lain-lain.

Pemeteraian MoU itu akan membolehkan pelanggan Trip.Biz mengakses dengan lebih mudah program MHcorporate kendalian Malaysia Airlines, sekali gus menjadikan Malaysia Airlines rakan kerjasama pilihan di platform tempahan global Trip.Biz.

Ketua Pegawai Komersial Penerbangan dari Malaysia Aviation Group (MAG),  Dersenish Aresandiran berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen kumpulan untuk mempermudah perjalanan korporat dan memperkasakan PKS untuk meneroka peluang baharu. 

“Trip.Biz ialah pemimpin industri dalam pengurusan perjalanan perniagaan dan kami akan berganding bahu untuk meluaskan capaian meliputi 25 pasaran.

“Ia juga menawarkan pengalaman tersendiri dan menyokong inisiatif bersama yang membantu para pelanggan kami berkembang maju,” katanya dalam kenyataan. 

Di bawah MOU tersebut, Malaysia Airlines bercadang untuk memberikan akses kepada Trip.Biz bagi menikmati tambang PKS di bawah program MHcorporate yang meliputi 25 pasaran dan lokasi diiktiraf Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), tertakluk pada terma dan syarat yang berkenaan.

Kedua-dua belah pihak turut berhasrat menjadikan Malaysia Airlines sebagai rakan penerbangan pilihan di platform Trip.Biz dengan peluang untuk mencapai dan menarik pelanggan PKS di peringkat global.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Trip.Biz, Dr. Tao Song berkata, kerjasama itu mencerminkan matlamat bersama untuk menyediakan penyelesaian perjalanan perniagaan yang lebih pintar. 

“Ini merangkumi perjalanan perniagaan lebih cekap dan menjimatkan kos bagi PKS dalam usaha mereka mengembangkan sayap ke peringkat antarabangsa menerusi platform kami.

“Kami juga teruja untuk bekerjasama dengan Malaysia Airlines, sebuah syarikat penerbangan yang memang terkenal dengan identiti Hospitaliti Malaysia dan rangkaian serantau yang luas,” ujarnya. -UTUSAN

Scroll to Top