Malaysia akan terus ikhtiar cari pendamaian di Selatan Thailand

Malaysia akan terus ikhtiar cari pendamaian di Selatan Thailand

nfazlina@nstp.com.my

Bachok: Malaysia akan terus berusaha dan berikhtiar untuk mencari pendamaian dan keamanan di Selatan Thailand, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau sudah menghubungi kerajaan Thailand dan mereka bersedia untuk terus berusaha hentikan ketegangan dan keganasan di kedua-dua pihak.

“Saya percaya dengan kebijaksanaan pimpinan negara Thailand, kita akan terus cuba berusaha dan tambah ikhtiar untuk mencari kedamaian dan keamanan.

“Ia bagi memastikan kawasan itu boleh dibangunkan dan pengajian Islam diteruskan serta Bahasa Melayu dimartabatkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pimpinan dan Penuntut Pusat Pengajian Pondok YIK di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pada masa sama, Anwar turut menyifatkan proses rundingan damai yang berjaya dilakukan Malaysia bagi mengurangkan ketegangan di Myanmar menyebabkan serangan terhadap umat Islam terutama Rohingya jauh berkurangan.

Disebabkan itu katanya, Malaysia akan teruskan proses pendamaian di antara Thailand dan Kemboja.

“Mudah-mudahan situasi ini kekal dan juga membantu rakan-rakan Islam kita di negara berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top