PETALING JAYA: Pasukan hoki negara berdepan misi wajib menang ke atas China selepas skuad kendalian Sarjit Singh itu tewas 5-3 kepada Pakistan dalam aksi kedua Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2026 di Mesir, hari ini.
Dalam perlawanan yang berlangsung sengit di Ismailia itu, skuad negara turun dengan keyakinan tinggi gagal mempertahankan kelebihan awal sebelum dihukum dengan beberapa kesilapan mudah yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh Pakistan.
Kekalahan tersebut menyaksikan Speedy Tigers berada dalam tekanan menjelang aksi seterusnya menentang China, Rabu ini dalam usaha mereka menempah tiket ke peringkat separuh akhir kejohanan.
Terdahulu, Malaysia mempamerkan aksi bertenaga apabila berjaya mendapatkan gol awal menerusi Muhajir Abdu Rauf pada minit ke-12 sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook menggandakan kedudukan dua minit kemudian hasil pukulan sudut penalti.
Pakistan memperoleh dua gol pantas menerusi Waheed Ashraf Rana dan Zikriya Hayat untuk mengikat kedudukan 2-2 sebelum Mohd Fitri Saari meletakkan pasukan negara di depan pada minit ke-40.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Nadeem Ahmad, Sufyan Khan dan Ammad Muhammad masing-masing menjaringkan satu gol untuk memastikan tiga mata menjadi milik Pakistan.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh mengakui kegagalan memanfaatkan peluang yang terhidang menjadi punca kekalahan tersebut.
“Pemain beraksi dengan baik cuma mereka tidak memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol. Kami ada peluang untuk memenangi perlawanan ini tetapi penyudah tidak begitu baik,” katanya. – UTUSAN




