Malaysia B-16 belasah Macau 5-0

Malaysia B-16 belasah Macau 5-0

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad bawah 16 (B-16) tahun negara terus mengganas di Hanoi apabila membelasah Macau 5-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia B-17 2026 di Padang Vietnam YFTC, sebentar tadi.

Hero perlawanan sudah tentu milik Muhammad Alif Ashraf Abd Rahman yang meledak tiga gol kesemuanya menerusi tandukan sekali gus menghidupkan pesta jaringan Harimau Malaya B-16.

Kemenangan itu mengekalkan rekod sempurna Malaysia dalam Kumpulan C selepas menewaskan Kepulauan Mariana Utara 13-0 pada aksi pembukaan dan mengatasi Hong Kong 1-0, Isnin lalu.

Malaysia yang lebih banyak menguasai permainan akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke 39 apabila Alif menanduk masuk sepakan sudut Tengku Ahmad Darwis Tengku Daud.

Hanya seminit selepas itu, Alif terus menceriakan kem negara apabila menanduk gol kedua hasil hantaran lintang Muhammad Amirul Haziq Mazlan yang langsung tidak mampu dipatahkan benteng Macau.

Penyerang itu melengkapkan hatrik pada minit ke 49 menerusi satu lagi tandukan kemas, kali ini berpunca daripada sepakan sudut Taufiquul Hakim Mohd Azlan untuk menjadikan Malaysia selesa di hadapan.

Malaysia menambah derita Macau ketika aksi berbaki empat minit apabila Mohamad Iman Danish Mohd Shukor menyambar bola muntah selepas rembatan Muhammad Nabil Ikhwan Mohd Zaidi gagal melepasi palang.

Iman Danish kemudian sekali lagi menjadi watak penting apabila meledak gol kelima pada masa kecederaan untuk menutup malam gemilang skuad muda negara.

Malaysia kini kekal di tangga kedua kumpulan, berkongsi sembilan mata dengan pendahulu Vietnam yang menewaskan Hong Kong 2-0.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top