Malaysia bakal jadi peneraju hab digital Asean

Malaysia bakal jadi peneraju hab digital Asean

saufi@mediaprima.com.my

Inisiatif kerajaan memberi peruntukan khusus untuk pembangunan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta segmen digital bakal menjadikan negara sebagai peneraju hab digital di rantau Asia Tenggara.

  Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Anuar Fariz Fadzil berkata, Belanjawan 2025 yang dibentangkan minggu lalu memberikan cerminan jelas terhadap hala tuju digital negara.

  Katanya,  ia memberi sokongan besar untuk mempercepatkan lagi digitalisasi, menggalakkan penggunaan AI dan memacu pertumbuhan inklusif.

  “Menerusi Belanjawan Madani 2025 ini, ia diumumkan pada waktu yang tepat dan selaras dengan persiapan Malaysia untuk mempengerusikan Asean 2025.

  “Menerusi inisiatif strategik yang dirangka, negara bersedia untuk memacu kerjasama serantau dalam bidang utama seperti AI, ekonomi digital dan inovasi serta mengukuhkan peranan kita di Asean dan peringkat global. 

  “Belanjawan ini juga menyediakan insentif kepada pelabur tempatan dan asing untuk terus melabur di negara ini, khususnya dalam aktiviti bernilai tinggi, termasuk perkhidmatan digital,” katanya.

  Anuar berkata, komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara juga bakal menerima manfaat daripada inisiatif untuk mengadaptasi peralatan digital bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi sekali gus membolehkan PKS bertahan dan berkembang dalam ekonomi global yang semakin kompetitif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top