'Malaysia bangkitkan konflik Gaza Forum TRT World 2026 esok' – TPM

'Malaysia bangkitkan konflik Gaza Forum TRT World 2026 esok' – TPM

amalia.azmi@nst.com.my

Istanbul: Malaysia akan membangkitkan isu konflik berterusan di Gaza pada Forum TRT World 2026 yang berlangsung esok, dengan keyakinan Turkiye menjadi penggerak utama mencari penyelesaian terhadap konflik berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Turkiye berpotensi memainkan peranan dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik berkenaan.

Beliau berkata, situasi di Gaza masih belum menemui penyelesaian, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap usaha menamatkan konflik itu.

“Turkiye mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan berada pada kedudukan untuk mempengaruhi bukan sahaja Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, malah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

“Justeru, peranan Turkiye penting dalam membantu menyelesaikan isu Palestin, bukan sahaja bagi pihak negara Islam, tetapi juga atas dasar kemanusiaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pramajlis bersama delegasi Malaysia di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Zahid berkata, Malaysia melihat potensi besar untuk memperluas hubungan perdagangan dengan Turkiye, khususnya dalam aspek perolehan pertahanan dan keselamatan.

Beliau berkata, teknologi pertahanan canggih dimiliki Turkiye serta keanggotaannya dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membuka peluang kepada Malaysia untuk memperoleh peralatan, selain mendapat manfaat menerusi pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran.

Sementara itu, dalam bidang pendidikan, Zahid berkata, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), akan meneroka peluang menghantar pelajar ke Turkiye.

Katanya, pihaknya juga akan menjemput tenaga pengajar dari Turkiye untuk melaksanakan latihan bagi jurulatih di UniKL dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), yang mana kedua-duanya berada di bawah MARA.

“Saya bercadang, menerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kebangsaan yang saya pengerusikan untuk menghantar pelajar TVET ke Turkiye bagi mendalami bidang tertentu yang diperlukan negara.

“Memandangkan MARA sahaja mempunyai 270 institusi TVET, saya akan mengenal pasti aspek kritikal selaras dengan Dasar TVET Negara 2.0, supaya Turkiye turut dijadikan antara negara rujukan untuk kita meneroka dan mempelajari beberapa bidang,” katanya.

Esok, Zahid dijadual menghadiri majlis pembukaan forum berkenaan yang akan disempurnakan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Beliau turut dijadual menyampaikan ucapan dalam sesi bertajuk ‘Turkiye: Daripada Kuasa Serantau kepada Pemain Pelbagai Wilayah.’

Malaysia dan Turkiye menjalin hubungan diplomatik pada 17 Jun 1964 dan sejak itu mengekalkan hubungan erat dalam bidang politik, ekonomi, perdagangan serta pendidikan.

Malaysia juga antara rakan dagang terbesar Turkiye di Asia Tenggara.

Nilai perdagangan dua hala kedua-dua negara kini berjumlah AS$5.6 bilion, dengan Malaysia dan Turkiye menyasarkan peningkatan kepada AS$10 bilion menjelang 2030 susulan persetujuan dicapai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Erdogan pada Januari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top