Malaysia berisiko terima tempias kejatuhan pasaran Indonesia

Malaysia berisiko terima tempias kejatuhan pasaran Indonesia

PETALING JAYA: Malaysia berisiko menerima tempias kejatuhan rupiah dan pasaran saham Indonesia menerusi aliran keluar pelaburan asing, tekanan terhadap eksport serta kemerosotan sentimen pasaran.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi berkata, kedudukan Malaysia yang mempunyai rizab antarabangsa, lebihan dagangan, sistem mata wang terapung dan pertumbuhan ekonomi yang kukuh menyediakan penampan untuk menghadapi kejutan luaran.

“Bagaimanapun, risiko penularan masih wujud sekiranya pelabur asing mengambil pendekatan mengurangkan pegangan aset di seluruh rantau ASEAN tanpa membezakan keadaan ekonomi setiap negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kejatuhan Indeks Harga Saham Gabungan (JCI) Indonesia sebanyak 11.57 peratus pada 16 Oktober lalu turut memberi tekanan kepada pasaran serantau, dengan Bursa Malaysia susut 0.7 peratus pada hari sama.

“Keadaan itu menunjukkan bahawa meskipun masalah Indonesia berpunca daripada kebimbangan terhadap ketelusan pemilikan saham dan tadbir urus pasaran modal, kesannya boleh merebak ke Malaysia melalui sentimen pelabur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, keadaan itu berbeza dengan krisis kewangan Asia 1997-1998 yang berpunca daripada kelemahan sistem perbankan, hutang dalam mata wang asing dan kejatuhan tambatan mata wang, tekanan semasa Indonesia lebih tertumpu kepada keyakinan terhadap pasaran modal.

“Perbezaan struktur kewangan itu mengurangkan risiko berulangnya krisis serantau pada skala yang sama, namun tidak menghapuskan kemungkinan tekanan terhadap ringgit dan pasaran saham tempatan.

“Dari segi perdagangan, hubungan ekonomi Malaysia dan Indonesia yang semakin berkembang turut menyebabkan prestasi ekonomi kedua-dua negara saling berkait.

“Jumlah dagangan dua hala Malaysia-Indonesia dijangka meningkat kepada AS$29 bilion tahun ini berbanding AS$26 bilion pada tahun lalu.

“Sekiranya kejatuhan nilai rupiah berterusan dan ekonomi Indonesia mengalami kelembapan, permintaan terhadap eksport Malaysia berpotensi terjejas, manakala barangan Indonesia yang menjadi lebih murah boleh meningkatkan persaingan terhadap pengeluar tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, kejatuhan pasaran saham tidak semestinya membawa kesan besar terhadap ekonomi sekiranya sistem perbankan kekal stabil, kemudahan kredit tersedia dan pasaran pekerjaan tidak terjejas dengan ketara.

“Bagaimanapun, tekanan kewangan boleh berkembang menjadi kelembapan ekonomi yang lebih luas sekiranya menjejaskan pembiayaan perniagaan, mengurangkan pelaburan dan mendorong syarikat membekukan pengambilan pekerja.

“Dari segi dasar pula, kerajaan perlu memastikan bantuan kepada golongan terjejas dapat disalurkan dengan cepat dan bersasar, manakala perbelanjaan awam perlu mengutamakan aktiviti yang menyokong produktiviti, pekerjaan dan pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

Tambahnya, pada masa sama, dasar monetari perlu mengambil kira risiko terhadap pertumbuhan ekonomi dan inflasi kerana penurunan kadar faedah semata-mata untuk menyokong pasaran mungkin tidak sesuai sekiranya tekanan inflasi masih tinggi.

“Sebaliknya, pengetatan dasar monetari secara berlebihan juga boleh meningkatkan beban pembiayaan perniagaan dan isi rumah,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top