Kuala Lumpur: Malaysia berpotensi memperkukuh kedudukannya sebagai hab industri pacuan empat roda (off-road) dan mobiliti pengembaraan serantau menerusi lima resolusi strategik yang diketengahkan pada Asia Offroad Expo & Convention (AOX) 2026.
Resolusi terbaharu itu merangkumi aspek keselamatan jalan raya, pemuliharaan alam semula jadi, pembangunan hab pembuatan dan pengedaran, penyelarasan piawaian industri serta pelan hala tuju elektrifikasi demi membentuk ekosistem automotif dan rekreasi yang lebih selamat serta mampan.
Pengasas dan Pengerusi Penganjur AOX, Thomas Foo berkata, platform berkenaan diwujudkan bagi menyatukan pemain industri, pengeluar kenderaan, pembekal peralatan dan penyedia teknologi untuk memajukan sektor pacuan empat roda di rantau ini.
“Usaha ini memerlukan kerjasama menyeluruh antara pengeluar kenderaan, agensi kerajaan, persatuan industri serta sektor pelancongan bagi mempromosikan Malaysia sebagai hab industri dan pengembaraan utama,” katanya di majlis pelancaran AOX 2026.
Lima resolusi strategik berkenaan mengetengahkan cadangan serta kerjasama daripada pelbagai entiti utama:
Keselamatan Pemanduan: Dibawakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), resolusi pertama memfokuskan penggunaan kenderaan off-road secara selamat di jalan raya awam melalui peranan persatuan, kelab, dan penganjur ekspedisi.
Pemuliharaan Alam: Diterajui Institut ESG Malaysia (MiESG) menerusi Piagam Pengembaraan Pacuan Empat Roda Bertanggungjawab, ia menggariskan amalan mesra alam seperti pengurusan sisa, pencegahan pencemaran, dan perlindungan habitat sensitif.
Hab Pembuatan Serantau: Dicadangkan oleh Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia bagi mengukuhkan rantaian bekalan, membuka peluang perniagaan, serta menarik pelaburan teknologi pemetaan dan aksesori kenderaan ke pasaran antarabangsa.
Piawaian & Kualiti: Menyokong penyelarasan garis panduan teknikal, kualiti produk, dan amalan penyelenggaraan kenderaan dengan sokongan Victron Energy sebagai penyumbang industri.
Elektrifikasi & Mobiliti Mampan: Meneroka potensi teknologi kenderaan elektrik (EV), kecekapan tenaga, infrastruktur pengecasan, dan keselamatan bateri off-road dengan kerjasama Surron.
AOX 2026 berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), menghimpunkan penggiat industri, pengeluar, dan komuniti pengembaraan dari dalam serta luar negara.
Hadir pada majlis perasmian pada Jumaat ialah Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Shin; Pengarah Urusan Kumpulan WTC Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim; Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik (MIROS), Zulhaidi Mohd Jawi; serta Presiden MiESG, Muhammad Sarhan Ismail.
© New Straits Times Press (M) Bhd




