
Kuartet 4×100 negara turut menyumbang kilauan pingat.
KONTINJEN Malaysia memulakan langkah cemerlang di pentas Sukan SEA Pekak edisi kedua apabila memborong enam pingat emas pada hari pembukaan sekali gus menguasai kedudukan awal pungutan pingat.
Sorakan gemuruh bergema di trek GOR UNJ Kampus B selepas atlet olahraga negara mempamerkan aksi luar biasa dengan menyapu lima emas menerusi acara 100 meter lelaki dan wanita, 400 meter lelaki, 800 meter lelaki serta 4×100 meter lelaki.
Azlan Kuste membuka tirai kejayaan dengan memenangi emas pertama negara dalam acara 800 meter lelaki (2:03.97s), manakala rakan sepasukan, Aidil A Asyraf Juakim, menghadiahkan kemenangan berganda buat Malaysia dengan pingat perak (2:05.21s).
Emas kedua hadir menerusi Muhammad Shahrul Azmer Azman yang unggul dalam 400 meter lelaki dengan catatan 50.44s.
Kemuncak sorakan tercetus dalam 100 meter lelaki apabila Muhammad Zamir Azman mencuri tumpuan dengan catatan 11.06s sekali gus memecahkan rekod temasya.

Muhammad Zamir pecah rekod temasya di Jakarta.
Lebih manis, dua lagi pelari negara, Haqzrul Shah Hamri (11.09s) dan Muhammad Zumar Azman (11.22s), menutup podium dengan pingat perak dan gangsa untuk mencipta sapuan bersih 1-2-3.
Turut mencuri perhatian, Nur Andrina Zainuddin dinobatkan sebagai ratu pecut apabila memenangi 100 meter wanita (13.06s), diikuti Steffy Stacy Lakim yang membawa pulang perak (13.63s).

Nur Andrina unggul di pentas 100 meter.
Pasukan 4×100 meter lelaki kemudian melengkapkan pesta emas olahraga dengan kemenangan (44.46s), manakala kuartet kedua negara menyumbang gangsa (46.34s).
Dominasi Malaysia tidak terhenti di trek apabila arena boling turut menyaksikan kejayaan berganda apabila Mohd Firdaus Mohamad merangkul emas acara perseorangan lelaki dengan jumlah jatuhan 1,302 pin (purata 217), disusuli Ho Choon Seong yang meraih perak dengan 1,249 pin.
Pencapaian gemilang enam emas ini mengukuhkan misi Malaysia mempertahankan kejuaraan keseluruhan yang diraih ketika edisi sulung di Kuala Lumpur 2022 selepas membawa pulang 15 emas.
Tahun ini, kontinjen negara menetapkan sasaran 16 emas untuk dikekalkan sebagai jaguh rantau.