Malaysia bukan negara junta tentera – Tok Mat

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan rasa bimbang terhadap tindakan kerajaan menambah  belanjawan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri dengan menggunakan kuasa di bawah pindaan Ordinan Darurat.

Katanya, kerajaan Malaysia masih lagi merupakan kerajaan awam dan bukannya sebuah kerajaan junta tentera, justeru setiap tindakan mestilah norma dan tatakelola yang sesuai dengan sifat sebuah kerajaan awam.

Malah, katanya, semasa dalam kedudukan darurat kerajaan mesti lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membelanjakan hasil negara kerana kelumpuhan mekanisme semak dan imbang serta Perlembagaan yang tidak berfungsi.

Sehubungan dengan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu menggesa Perdana Menteri supaya segera melakukan perkara yang betul dan sewajarnya untuk negara dan kepentingan demokrasi Malaysia.

Malaysia dan rakyatnya, kata Mohamad, wajar mendapat kewibawaan yang lebih baik dari pemerintah

”Darurat tidak boleh mengenepikan akauntabiliti dan ketelusan dalam apa juga keadaan sekalipun.

“Keabsahan tindakan pindaan Ordinan tersebut tidak semestinya memberikan ia legitimasi moral.

“Sesuatu yang sah dalam darurat mestilah juga sesuatu yang dipandu dan diputuskan dengan nilai, moral dan prinsip.

“Apa lagi bila ia melibatkan perbelanjaan dana awam. Tiada keadaan walau serumit dan sesukar mana sekalipun, wajar melepaskan kerajaan dari ‘rigorous scrutiny’ dalam membelanjakan wang rakyat dan hasil negara,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin ketika berucap di Kota Samarahan berkata, kerajaan sanggup berbelanja besar demi nyawa rakyat dan menyelamatkan ekonomi negara.

Katanya, kerajaan telah berbelanja antara RM7 bilion dan RM8 bilion untuk tujuan tersebut tidak termasuk peruntukan membeli vaksin Covid-19. – MalaysiaGazette